Selasa, 2 Mei 2017 | 8:33pm

32 pelajar Malaysia timba ilmu di London

 

KUALA LUMPUR: Seramai 32 pelajar Malaysia berpeluang memperoleh ilmu dan pengalaman baharu di empat universiti di London sempena lawatan Penaung Program Pusat Anak Permata Negara (PERMATA), Datin Seri Rosmah Mansor ke ibu kota England itu pada 4 hingga 10 Mei ini.

Isteri Perdana Menteri akan turut menyampaikan ucapan dan merasmikan Majlis Nobel Minda iaitu program anjuran PERMATA Pintar dengan Royal Society of London yang kini diperluaskan, membabitkan University of Cambridge, United Kingdom.

Dalam satu kenyataan hari ini, PERMATA berkata program Nobel Minda yang memberi peluang kepada 32 pelajar pintar terpilih dari Kolej PERMATA Pintar, Kolej PERMATA Insan, Kolej MARA, sekolah menengah dan universiti awam itu akan menyertai program dua minggu di London, dengan diiringi enam guru.

Lawatan itu bakal mendedahkan semua pelajar dengan aktiviti berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Cambridge University, London College University, ICL London serta University of Oxford.

Kerjasama turut dijalin dengan Cambridge University bagi membolehkan pelajar PERMATA Pintar menjalankan penyelidikan bersama saintis terkemuka dan berpengalaman dari universiti itu. 

Rosmah turut dijangka menyaksikan majlis menandatangani dua surat hasrat (LOI) antara PERMATA Pintar dengan Cambridge University serta PERMATA Insan dengan Oxford Centre for Islamic Studies, University of Oxford. 

Selain itu, lanjutan seminar berkaitan jenayah seksual kanak-kanak yang diadakan Mac lalu, beliau turut akan mengadakan perbincangan dengan Mahkamah Khas Keganasan Domestik dan The Rape and Serious Sexual Offences (RASSO) dari The Crown Prosecution Service (CSP). 

Lawatan akan diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Berita Harian X