Rabu, 3 Mei 2017 | 6:00am

Minyak pati buatan tangan jadi tarikan

KUALA LUMPUR: Hobi menghasilkan produk penjagaan diri berasaskan minyak pati, Serasi Hand Made antara 100 vendor bakal menemui pengunjung Fiesta Muslimah BH 2017 (FMBH'17), di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), bermula 2 hingga 4 Jun depan.

Pemilik dan Pengasas jenama, Intan Shafinaz Halim, berkata sebagai tarikan orang ramai mengunjungi gerai jualannya, beliau akan memperkenalkan pakej produk yang didatangkan bersama beg comel berasaskan fabrik batik terap Terengganu.

Katanya, antara produk yang dijual ialah losyen, syampu dan sabun yang diisi di dalam beg comel beraneka warna pada harga bermula RM150 hingga RM250.

"Saya yakin produk ini sangat digemari ramai kerana produk itu memiliki keistimewaan untuk mendapatkan kulit mulus dan berseri, selain diletakkan dalam beg fabrik batik comel," katanya kepada BH.

Sambutan menggalakkan

Usahawan berusaha 44 tahun ini mula membangunkan produk berkenaan tiga tahun lalu dan setakat ini, ia mendapat sambutan menggalakkan.

Katanya penghasilan produk berkenaan pada mulanya, hanya  dilakukan secara suka-suka, tetapi tidak menyangka ia mampu dijadikan sumber pendapatan sampingan.

"Percubaan pertama menghasilkan salap bibir berasaskan pudina mendapat sambutan menggalakkan hingga mencetuskan idea untuk lebih serius mendalami produk berasaskan minyak pati.

"Produk ini menjadi pilihan kepada pengguna yang gemarkan bahan semula jadi berasaskan tumbuhan dan bunga," katanya.

Produk unik

Intan Shafinaz mula membangunkan jenama ini pada Disember 2014 dengan salap bibir dan kini memiliki lebih 20 rangkaian.

Beliau berkata, beliau aktif di laman sosial dengan memperkenalkan aneka promosi dan peraduan, selain hampir setiap bulan cuba memperkenalkan produk baharu bagi menarik pengguna.

Lebih 20 minyak pati digunakan dalam produk penjagaan badan, antaranya lavender, rosemery, ylang-ylang yang memiliki kebaikan dan sifat penyembuhan tersendiri.

Gemar sertai jualan

Katanya, selain mempromosi produk menerusi laman sosial seperti Facebook dan Instagram, beliau kerap menyertai bazar dan gerai jualan, sebagai salah satu usaha memperkenalkan jenama kepada pelanggan baru.

"Saya menyifatkan penyertaan saya dalam aktiviti jualan antara cara memperkukuhkan jenama ini. Pertama kali menyertai FMBH'17, saya mahu menemui pelanggan di Shah Alam pula," katanya.

Orang ramai yang ingin menyertai FMBH'17 boleh hubungi Hani dan Lisa di talian 014-6639447; 013-2112591; 018-2742140 dan 012-6088969.

INFO
Serasi Hand Made

  • Buatan tangan atau 'hand made'
  • Harga RM16 hingga RM58
  • Sesuai untuk peringkat usia
  • Tiada campuran bahan kimia
  • Menggunakan pati mawar, pudina, rosemery dan ylang-ylang
Berita Harian X