Rabu, 3 Mei 2017 | 4:01pm

Usaha sama USAS-ITBM beri nilai tambah graduan


NAIB Canselor USAS, Profesor Tan Sri Dr Nordin Kardi (dua kiri) bertukar dokumen MoU dengan Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Mohd Khair Ngadiron sambil disaksikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya

IPOH: Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam usaha untuk memberi nilai tambah kepada graduan USAS bagi bersaing dalam pasaran kerja.

Sebagai permulaan, kedua-dua institusi bersetuju mewujudkan silibus kurikulum dalam program Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab.

Menerusi program berkenaan, pelajar perlu mengambil modul Kursus Perterjemahan Am daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu atau Bahasa Arab bagi tempoh 60 jam kredit, merangkumi teori, amali dan peperiksaan untuk melayakkan mereka memperoleh sijil terjemahan dari ITBM.

Naib Canselor USAS, Profesor Tan Sri Dr Nordin Kardi berkata, menerusi MoU itu, ITBM sentiasa memantau dan menawarkan program penterjemahan dalam kalangan graduan USAS.

Katanya, selain program persediaan, persefahaman bersama itu turut memberi fokus kepada penerbitan dan penterjemahan, terutama dalam menyediakan program latihan industri bagi pelajar program Bahasa Arab.

"Dengan kata lain, kerjasama ini adalah usaha ITBM secara berterusan untuk memperbaiki terjemahan dalam latihan industri dan dunia penerbitan di negara ini," katanya sebelum majlis menandatangani MoU berkenaan di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Nordin memeterai perjanjian itu bagi mewakili USAS manakala ITBM diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khair Ngadiron, sambil disaksikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Zambry pula berkata, kerjasama itu disifatkan sebagai usaha sama yang baik untuk memastikan graduan USAS dapat bersaing dalam pasaran kerja, selain kualiti terjemahan dipertingkatkan setanding dengan universiti terkemuka lain.

"Kerjasama ini satu inisiatif baik dalam perkongsian bersama di mana ia bakal memberikan hasil kepada pelajar yang juga akan memberi sumbangan besar kepada bidang penterjemahan," katanya.

Berita Harian X