Rabu, 3 Mei 2017 | 9:57pm

Piala Sultan Azlan Shah: Oltmans hormati Speedy Tigers

PEMAIN India, Mandeep Singh diasak pemain Jepun, Masaki Ohashi pada aksi kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, petang tadi. - Foto AP

IPOH: Meskipun turun dengan status pasukan pilihan, pengendali India, Roelant Oltmans mengakui tetap menghormati Malaysia menjelang pertemuan terakhir Piala Sultan Azlan Shah, antara kedua-dua pasukan, Jumaat ini.

Petang tadi, India mengukuhkan peluang memburu gelaran kelima di Ipoh selepas berjaya menumpaskan Jepun 4-3, sekali gus mengumpul tujuh mata selepas empat aksi.

Oltmans berkata walaupun belum melihat lagi video aksi Malaysia, dia tidak ragu-ragu tuan rumah yang menduduki ranking ke-14 dunia itu tetap antara pasukan Asia yang berbahaya.

"Esok baru saya akan mula mengalihkan tumpuan terhadap aksi menentang Malaysia dan menonton video aksi mereka sepanjang kejohanan ini," kata jurulatih dari Belanda itu.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan sebentar tadi, Oltmans berkata pasukannya bermula baik pada aksi berkenaan, tetapi akibat terlalu gopoh ketika menyerang menyebabkan mereka dibolosi tiga gol.

Bagi pengendali Jepun, Takahiko Yamabori, dia tanpa berselindung mengakui sedikit kecewa dengan kegagalan pasukannya mempertahankan kelebihan 3-2 ketika permainan berbaki 10 minit.

"Jujurnya memang saya agak sedih dengan kekalahan ini tetapi beberapa keputusan pengadil yang lebih memihak kepada India lebih mengecewakan saya," katanya selepas tamat perlawanan.

Dalam aksi di sebelah petang itu, India menerima tamparan hebat apabila turun tanpa penjaga gol utama P Sreejesh yang disahkan terlepas aksi selama tiga bulan kerana mengutip kecederaan lutut dalam aksi menentang New Zealand kelmarin.

Empat gol India dijaringkan Rupinder Pal Singh seawal minit keenam dan hatrik Mandeep Singh pada minit ke-44, 51 dan 58.

Jepun pula menghasilkan jaringan menerusi sentuhan Kazuma Murata minit ke-10, Heita Yoshihara (m-43) dan Genki Mitani (m-45).

Berita Harian X