Khamis, 4 Mei 2017 | 5:52pm

Ribuan saksi penyerahan bendera larian UMNO Johor-Melaka


DATUK Seri Mohamed Khaled Nordin menyerahkan bendera UMNO kepada Datuk Seri Idris Haron di atas jambatan Sungai Rambai iaitu sempadan Johor-Melaka, Tangkak, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

TANGKAK: Lebih 2,000 peserta konvoi dan larian bendera UMNO berhimpun di atas jambatan Sungai Rambai iaitu sempadan Johor-Melaka, dekat sini, hari ini bagi menyaksikan upacara penyerahan bendera sempena sambutan ulang tahun UMNO ke 71.

Majlis penyerahan bendera UMNO itu disempurnakan Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kepada Ketua Menteri selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Terdahulu, peserta konvoi dan larian bendera UMNO peringkat terakhir Zon Johor memulakan larian bendera sejauh kira-kira 45 kilometer bermula di Kompleks Sukan Pagoh, dekat sini membabitkan beberapa hentian sebelum berakhir di atas jambatan Sungai Rambai.

Ketibaan Mohamed Khaled disambut meriah dengan persembahan seni silat sendeng dan kuda kepang yang menjadi identiti kebudayaan dan warisan Johor.

Peserta larian kemudian menyerahkan bendera larian kepada Mohamed Khaled kira-kira jam 4.50 petang sebelum beliau bersama peserta bergerak ke kawasan tengah jambatan berkenaan.

Beliau kemudiannya menyerahkan bendera larian kepada Idris yang menjadi simbolik kepada kesinambungan larian bendera terbabit yang akan melalui beberapa bahagian UMNO di negeri terbabit.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Hamim Samuri; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Hahasrin Hashim dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Melaka, Datuk Zali Md Yassin.

Mohamed Khaled bersama Idris dan peserta larian bendera UMNO kemudian bergerak ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) bagi menghadiri Majlis Penyerahan Bendera UMNO.

Berita Harian X