Khamis, 4 Mei 2017 | 8:55pm

Pelajar maut digilis lori, rakan cedera


ANGGOTA polis mengangkat mayat Izzhanif Danny yang maut dalam kemalangan di Kilometer 70.8, Jalan Sitiawan-Taiping, berhampiran Kampung Sungai Lubok Trong, Taiping. - Foto ihsan PDRM

TAIPING: Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Toh Johan dekat sini, maut selepas digilis sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 70.8, Jalan Sitiawan-Taiping, berhampiran persimpangan masuk Kampung Sungai Lubok Trong, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.35 petang itu, mangsa Izzhanif Danny Abd Rahman, 13, dari Kampung Salak Baru, Trong, dan membonceng motosikal yang dibawa rakannya, maut di tempat kejadian.

Rakannya yang juga pelajar sekolah sama, Thaqifshah Samsudin, 16, dari Taman Ukay Perdana, Ampang, Selangor, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan dari arah Beruas menghala ke Taiping.

"Apabila tiba di tempat kejadian, tayar belakang sebelah kiri lori bergesel dengan motosikal berkenaan menyebabkan Izzhanif Danny digilis tayar belakang dan maut di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

"Kejadian itu turut menyebabkan rakannya cedera ringan dan dirawat di Hospital Taiping, manakala pemandu lori berusia 40 tahun tidak mengalami kecederaan," katanya di sini, sebentar tadi.

Harrith Kam berkata, ketika anggotanya tiba di lokasi, lori berkenaan didapati terbakar dan pihaknya belum dapat memastikan sama ada ia terbakar sendiri atau dibakar orang awam.

Katanya, siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

28 dibaca
Berita Harian X