Jumaat, 5 Mei 2017 | 10:43am

Kesudahan terbaik dalam syurga


MENGHADIRKAN diri dalam kuliah agama antara persiapan menghadapi alam akhirat. - Foto Asman Ibrahim

TIDAK ada seorang pun dalam kalangan manusia yang menolak untuk menjadi penghuni syurga pada hari akhirat kelak.

Bagaimanapun, sebelum menempuhi alam akhirat, setiap yang bernyawa pasti akan menemui ajal.

Mereka yang melakukan amalan baik atau buruk ketika hidup di dunia, maka dia akan dibalas tanpa ada sebarang pengecualian pada Hari Kiamat nanti. Sesiapa dapat menghindarkan dirinya daripada api neraka, mereka inilah manusia yang berjaya.

Ustaz Muhammad Syariff Mohd Azhari al-Hafiz menerusi slot Mau'izati di IKIMfm menjelaskan dunia ini hanyalah fatamorgana, dapat dilihat dengan pandangan mata ketika hidup di atas muka bumi, tetapi tidak dapat dirasa pada Hari Akhirat dan hanya bersifat sementara.

Ujian diturunkan Allah SWT kepada hamba-Nya mempunyai sebab tertentu antaranya sebagai balasan di akhirat, yang menuntut kesabaran sebagai penghapus dosa atau meninggikan darjat seseorang di sisi Allah SWT.

Segala-galanya yang ada di dunia ini disediakan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya untuk menyediakan bekalan menuju ke alam kekal abadi iaitu sama ada menuju syurga atau neraka.

Keluasan syurga digambarkan antara langit dan bumi seperti firman Allah SWT yang bermaksud: "Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar." (Surah al-Hadid, ayat 21)

Dalam syurga juga tidak akan kedengaran perkataan sia-sia dalam kalangan penghuninya, malah mereka dikurniakan keberkatan oleh Allah SWT di atas kesabaran serta diberi ganjaran tempat terbaik untuk kesudahan mereka.

Gambaran di syurga tiada di dunia

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda, "Aku sudah janjikan kepada semua orang salih ini, gambaran di syurga tidak pernah dilihat ketika di dunia. Keluasan di syurga yang memberikan ketenangan tidak pernah digambarkan di dunia, dan telinga juga tidak pernah mendengar bunyi yang sangat menenangkan seperti sebelum ini, dan tidak pernah terdetik di dalam hati manusia ini apa yang ada di dalam syurga."

Selain itu, syurga bukan hanya ada kedamaian dan ketenangan malah, suasananya nyaman, nikmat di mata serta hati penghuninya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Mereka berehat di dalam syurga dengan berbaring di atas pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk." (Surah al-Insan, ayat 13)

Rasulullah SAW sering berpesan kepada umatnya supaya sentiasa menjaga percakapan kerana apabila banyaknya bercakap akan banyak melakukan kesalahan dan dosa yang mengakibatkan seseorang itu terjerumus ke dalam neraka.

Allah SWT mengurniakan sifat penyayang kepada hamba-Nya dan golongan itu mempunyai ciri-ciri yang antaranya ialah apabila berjalan di atas muka bumi ini, mereka akan tunduk dan sabar apabila ditimpa ujian.

Selain itu, mereka juga apabila bercakap dengan orang yang tidak faham agama (jahil), akan berkata, "Selamatlah kamu...", malah pada Hari Akhirat kelak perkataan inilah yang akan disebut-sebut di syurga nanti.

Allah juga menempatkan syurga dalam satu binaan luas, segala seni binanya terdiri daripada emas, perak, batu permata, mutiara, zamrud dan segala perkara yang disukai oleh pandangan mata serta hati manusia.

Pakaian, perhiasan penghuni syurga

Mengalir pula di bawahnya, di celah-celahnya sungai seperti yang tergambar menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: "Tetapi (sebaliknya) orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya), dibina untuk mereka (di dalam syurga) mahligai yang tinggi bertingkat, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Demikianlah janji yang ditetapkan Allah; Allah tidak sekali-kali akan mengubah janji-Nya." (Surah az-Zumar, ayat 20)

Pakaian dan perhiasan penghuni syurga pula digambarkan: "Mereka di dalam syurga memakai pakaian hijau yang diperbuat daripada sutera halus dan sutera tebal (yang bertekat), serta mereka dihiasi dengan gelang tangan daripada perak; dan mereka diberi minum oleh Tuhan mereka dengan sejenis minuman (yang lain) yang bersih suci." (Surah al-Insan, ayat 21)

Perasaan menikmati ganjaran syurga daripada Allah SWT ini tidak dapat digambarkan manusia ketika hidup di dunia. Sungai ada di syurga tidak dapat ditandingi dengan sungai di dunia kerana sungainya mempunyai rasa seperti susu.

Ulama berpendapat susu dan madu adalah antara makanan yang ada dalam syurga, malah madu juga dialirkan menerusi sungai yang bersih. Banyaknya sungai mengalir di syurga termasuk yang mengalirkan air lazat, segar, tidak berubah rasanya serta kekal mengalir selama-lamanya.

Di syurga juga tidak hujan, panas atau segala perkara yang mampu mengurangkan rasa nikmat. Selain itu terdapat juga aliran sungai mengandungi arak yang lazat serta tidak memabukkan. Sungai dalam syurga memberi keindahan dan ketenangan bagi penghuni yang bertakwa kepada Allah SWT.

Berita Harian X