Sabtu, 6 Mei 2017 | 12:03am

Negeri Sembilan kekal rekod tanpa kalah


PEMAIN Negeri Sembilan, Marko Simic bersaing dengan pemain ATM, Faqih Ikhwan Mohd Fauzi (kiri) pada perlawanan Liga Premier 2017 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. - Foto Hazreen Mohamad

SEREMBAN: Negeri Sembilan bangkit dari ketinggalan untuk mempertahankan rekod tanpa kalah apabila mengikat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-1, dalam aksi Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Lee Andrew Tuck muncul penyelamat skuad Hobin Jang Hobin apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-83 selepas Venice Adelphi meletakkan ATM di depan pada minit ke-46.

Negeri Sembilan memulakan aksi agresif sebaik perlawanan dimulakan dengan dua peluang terbaik menerusi Farderin Kadir pada minit ketujuh dan ke-10 tetapi percubaan bekas pemain Selangor itu tidak menepati sasaran.

Farderin yang sebelum ini memanaskan bangku simpanan disenaraikan dalam kesebelasan utama menggantikan penyerang berbisa, Bruno Suzuki yang tidak diturunkan kerana kurang cergas, dan bergandingan dengan Marko Simic di barisan serangan Negeri Sembilan.

Beberapa gerakan menarik mereka cipta di dalam kawasan pintu gol lawan namun mudah dipatahkan pertahanan ATM.

Pada minit ke-22, percubaan Lee Andrew Tuck dari luar kotak penalti sebelah kanan hampir meletakkan Negeri Sembilan di depan, tetapi sepakannya hanya melintasi garisan gol ATM.

Minit ke-32 pula cubaan Simic dari dalam kotak penalti melepasi palang manakala pada minit ke-37, Khairul Anwar Shahrudin turut mensesiakan peluang selepas percubaannya dari sebelah kiri pintu gol tersasar.

Usaha anak buah Mohd Asri Ninggal untuk menembusi benteng ATM dan menjaringkan gol nyata gagal biarpun mendapat enam peluang terbaik yang mereka peroleh dalam tempoh separuh masa pertama.

Sebaik aksi bersambung, The Gladiators tidak menunggu lama apabila Venice Elphi membuka tirai jaringan pada minit ke-46, menerusi tandukan selepas menerima hantaran silang sebelah kanan dan menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd Kaharuddin Abd Rahman.

Jaringan itu nyata menyentap semangat pemain skuad Hobin Jang Hobin yang turun dengan misi mempertahankan rekod cemerlang, apabila mula memperkemaskan gerakan dan serangan bagi memburu gol.

Bagaimanapun minit ke-61, tandukan Lee Andrew Tuck yang menerima hantaran hasil sepakan sudut gagal menghasilkan jaringan apabila bola tepat ke dakapan penjaga gol Mohd Hafizuddin Azuhar.

Namun Lee Tuck berjaya menebus kesilapan itu apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-83 hasil pergelutan dalam kotak penalti, sekali gus melegakan kira-kira 3,000 penyokong setia Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan terus berusaha menambah jaringan bagi mendapatkan kemenangan dengan mengasak ke kubu ATM pada tempoh terakhir permainan namun gagal dan perlawanan yang menyaksikan tujuh kad kuning berkesudahan seri 1-1.

Ini adalah seri keempat buat Negeri Sembilan namun pasukan itu kekal menerajui carta liga.

Berita Harian X