Sabtu, 6 Mei 2017 | 9:35pm

Malaysia Tigers akhiri kempen di tangga kelima


PEMAIN Malaysia meraikan kemenangan selepas menewaskan Jepun 3-1 pada perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

IPOH: Skuad hoki negara terus mempamerkan peningkatan apabila menumpaskan Jepun 3-1 dalam aksi klasifikasi kelima dan keenam untuk menamatkan saingan Piala Sultan Azlan Shah di tempat kelima, sebentar tadi.

Sebelum ini skuad kendalian Stephen Van Huizen menang ke atas India 1-0 dalam aksi terakhir liga sepusingan selepas melalui empat perlawanan tanpa kemenangan.

Ia secara tak langsung turut memastikan pasukan ke-14 dunia itu berjaya mengubati kekecewaan diikat Jepun 1-1 pada aksi sulung, Sabtu lalu.

Dalam aksi yang terpaksa ditangguhkan selama setengah jam kerana hujan lebat, Malaysia mendahului permainan seawal minit kelapan menerusi gerakan pukulan sudut penalti selepas penyerang Haziq Samsul bijak menguis bola percubaan Najmi Farizal Jazlan.

Tiga minit kemudian tiba giliran Firhan Ashari meledak gol sulung peribadi pada kejohanan ini hasil umpanan jeneral tengah Fitri Saari.

Kesilapan penjaga gol negara S Kumar dalam mengeluarkan bola, bagaimanapun menghukum bentengnya sendiri apabila bijak dihidu pemain Jepun Kaito Tanaka yang kembali merapatkan jurang pada minit ke-28.

Minit ke-34, Faizal Saari menambah gol ketiga negara apabila bola pukulan sudut penalti menariknya yang menuju ke penjuru kiri gawang gagal diselamatkan penjaga gol Jepun Suguru Shimmoto.

Berita Harian X