Sabtu, 6 Mei 2017 | 10:59pm

Pemimpin Al-Azhar diganti susulan tuduhan murtad


PEMANGKU Presiden Universiti Al-Azhar, Ahmed Hosni Taha. - Foto AFP

KAHERAH: Pemangku Presiden Universiti Al-Azhar, antara pusat pengajian Islam terkemuka dunia, digantikan selepas menyifatkan seorang pengacara bual bicara televisyen sebagai murtad.

Ia berlaku ketika Al-Azhar ditekan pengkritik yang berkata pihak berkuasa Sunni tidak bertindak secukupnya memerangi militan Islam.

Ahmed Hosni Taha terpaksa meminta maaf kelmarin selepas berkata Islam al-Behairy sudah murtad kerana menyelar pengasas undang-undang Islam.

Permohonan maaf beliau disusuli kenyataan Al-Azhar semalam yang berkata imam besar, Ahmed al-Tayeb, yang mengetuai institusi yang mengendalikan universiti berkenaan, menggantikan Taha.

Taha membuat kenyataan mengenai Behairy ketika satu temubual televisyen.

"Komen saya tidak betul dan bertentangan dengan cara Al-Azhar," kata Taha dalam permohonan maaf yang disiarkan di laman web universiti itu.

Behairy ialah hos rancangan bual bicara yang menaikkan kemarahan ulama Al-Azhar dengan kecaman terhadap buku agama dan ulama Sunni terkenal.

Beliau pernah dijatuhi hukuman penjara setahun kerana menghina agama dan dibebaskan pada lewat 2016 selepas mendapat pengampunan presiden. - AFP

565 dibaca
Berita Harian X