Isnin, 8 Mei 2017 | 8:00am

Tawaran solekan percuma di FMBH'17


NOORHANANIL Huda ketika ditemui BH di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Syarikat produk kecantikan RoseTyara Sdn Bhd (RoseTyara) menawarkan tata rias percuma oleh jurusolek profesional kepada pengunjung Fiesta Muslimah BH 2017 (FMBH'17) bagi pembelian RM100 ke atas di gerai mereka.

Pengurus Pemasarannya merangkap duta produk kosmetik itu, Noorhananil Huda Muhamad Sabri, berkata promosi hebat itu memberi berpeluang individu tampil lebih menarik dengan produk itu.

Katanya, pihaknya tidak mengehadkan jumlah pelanggan bagi menikmati keistimewaan itu sepanjang tiga hari gerai jualan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), bermula 2 hingga 4 Jun, depan.

"Produk ini mendapat sambutan hangat sebagaimana dikecapi ketika percubaan awal memasuki pasaran Singapura dan Brunei tahun lalu," katanya kepada BH.

Noorhananil Huda berkata, selepas dikenali di internet menerusi medium belian dalam talian, RoseTyara mengatur strategi menambah pelanggan baharu dan FMBH'17 disifatkan tapak permulaan dalam mengukuhkan jenama produknya.

"Awal kemunculan lebih setahun lalu, RoseTyara lebih menumpukan strategi jualan dalam talian, tetapi kini berhasrat bertemu secara empat mata dengan penggemar kosmetik tempatan," katanya.

Katanya, percubaan pertama menyertai gerai jualan sewaktu Perhimpunan Agong UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), tahun lalu memperoleh jualan berlipat ganda.

"Penyertaan sulung di FMBH'17 kali ini atas cadangan pengasas produk itu, Siti Nurshuhada Abdullah yang mahu meneroka lebih pasaran luas," katanya.

Noorhananil berkata, RoseTyara menawarkan 10 barangan termasuk yang paling hangat, bedak asas RoseTyara Foundation yang menghimpunkan tiga pilihan rona iaitu rose, lily dan violet.

Turut dijual ialah bedak tabur halus atau loose powder RoseTyara jenis 'radiance' dan 'matte', penyembur wajah Bling Bling, penyamar noda, corrector dan sebagainya.

"Bedak serbuk RoseTyara jenis radiance sesuai untuk semua jenis kulit berikutan rona lut sinar, corrector berfungsi menyembunyikan lingkaran gelap bawah mata manakala penyamar noda membantu kulit wajah tampil berseri eksklusif buat pengunjung yang singgah di gerai kami," katanya.

Beliau berkata, syarikatnya banyak terbabit dengan penajaan solekan bagi drama dan telefilem, antaranya drama popular TV3, 'Shhh I Love You' selain menaja solekan pelakon Neera Azizi dalam drama 'Sayangku Kapten Mukhriz'.

"Malah, rangkaian kosmetik kami turut digunakan jurusolek terkenal, Bella dalam sesetengah tutorial solekannya yang memperoleh kadar tontonan lebih 10,000 orang menerusi laman Facebook," katanya.

Tempahan gerai FMBH'17, boleh hubungi Hani atau Lisa di talian 014-6639447; 013-2112591; 018-274 2140 dan 012-6088968 atau emel; [email protected].

Info

FMBH 2017:

* Diacarakan Liza Kool FM

* Turut disertai Mawi, Siti Nordiana, Syamel, Wany
Hasrita, Irfan Haris, Fina Mentor dan Tajul, selain Caliph Buskers

Berita Harian X