Isnin, 8 Mei 2017 | 4:34pm

Alif terkejut Top 5 lima kategori ABPBH 3.0


Penyanyi dan pengacara Alif Satar. - Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Memasuki tahun ke-11 pembabitan dalam seni, Alif Satar mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kali mara sebagai calon Top 5, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0.

Lebih mengejutkan, penyanyi yang bergelar pelakon dan pengacara itu melekat sebagai finalis dalam empat kategori utama iaitu Pelakon Filem Popular, Penyanyi Lelaki Popular, Artis Versatil Popular dan Pengacara TV Popular.

Beliau juga bergelar calon akhir kategori online, Gandingan Serasi Drama, bersama Siti Nordiana menerusi drama Dia Semanis Honey.

"Sepanjang kerjaya seni, saya memang tidak pernah dicalonkan sebagai artis Top 5 ABPBH, apatah lagi menghadiri majlis kebanggaan BH ini.

"Pencalonan saya dalam kategori terbabit benar-benar mengejutkan diri sendiri. Bukan sekadar kali pertama melekat sebagai calon Top 5, malah dalam lima kategori. Tentunya ia sesuatu yang mengejutkan sekali," katanya kepada BH Online.

Katanya, dalam berkarya, beliau bukanlah terlalu mengejar populariti, sebaliknya berharap pencapaian di bidang terbabit konsisten.

"Perkataan bintang popular yang ada pada anugerah ini pun membuatkan saya berasa janggal. Saya memang tak menjangka nama saya boleh sampai ke tahap sedemikian.

"Begitupun, saya amat bersyukur dan benar-benar rendah diri atas pencalonan ini. Ia begitu besar maknanya bagi saya. Namun, bagi mengharapkan kemenangan adalah jauh sekali.

"Detik yang saya sedang lalui hingga kini, sehingga dicalonkan pada ABPBH 3.0 umpama anugerah terindah yang akan saya kenang sampai bila-bila," katanya yang tidak dapat hadir ke sidang media pengumuman senarai Top 5 ABPBH 3.0, baru-baru ini, kerana terikat dengan penggambaran super telefilem, Memori Pajeri Nanas, di samping Tiz Zaqyah dan Siti Saleha.

Tambah Alif, satu ketika dulu, beliau menjadi anak seni bagi mencari rezeki, namun kini dengan sokongan kuat peminat, dimensi kerjayanya turut berubah.

Selain Alif, seorang lagi artis yang menyaksikan namanya dicalonkan dalam lima kategori pada anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia itu ialah Neelofa.

Pengacara Meletop itu dicalonkan dalam dua kategori utama, Pelakon TV Wanita Popular dan Pengacara TV Popular, manakala tiga lagi dalam kategori online, iaitu Gandingan Serasi Drama (Suri Hati Mr Pilot bersama Fattah Amin), Artis Berpengaruh di Laman Sosial dan Artis Sensasi.

Keputusan pemenang 13 kategori utama dan 5 kategori online bakal diketahui pada malam kemuncak ABPBH 3.0 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, 14 Mei ini.

Ia akan disiarkan secara langsung menerusi TV3, jam 9 malam.

Berita Harian X