Isnin, 8 Mei 2017 | 5:29pm

Skuad silat raih lima emas di Belgium


PESILAT negara, Muhammad Faizul Mohd Nasir (kiri).

KUALA LUMPUR: Skuad silat kebangsaan meraih tonik terbaik menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 Ogos ini apabila meraih lima emas pada Kejohanan Pencak Silat Terbuka Belgium 2017 yang berakhir semalam.

Pesilat di bawah Program Kita Juara, Muhammad Faizul Mohd Nasir menyumbang pingat emas pertama selepas mengalahkan pesilat tuan rumah, Derent Xavier 5-0 dalam kelas B Putera (50-55 kg), demikian menurut entri terbaru dalam laman Facebook Majlis Sukan Negara (MSN).

Program Kita Juara adalah program khas yang dirangka MSN untuk kontinjen negara memenuhi sasaran muncul juara keseluruhan Sukan SEA 2017 yang dijadual berlangsung 19 hingga 30 Ogos ini.

Emas kedua dan ketiga negara dihasilkan dua atlet di bawah Program Podium iaitu Mohd Al-Jufferi Jamari dan Razak Ghazali, masing-masing dalam kelas Putera E (65-70kg) dan Putera D (60-65kg).

Mohd Al-Jufferi yang juga juara dunia 2016, mudah menewaskan pesilat tuan rumah, Hachler Ammier 5-0, manakala Razak turut mencatat kemenangan dengan kiraan mata sama ke atas pesilat Singapura, Nor Hakim Samsudin.

Dua pesilat negara di bawah Program Kita Juara, Siti Shazwana Ajak dan Muhammad Robial Sobri menambah kutipan pingat emas selepas mencatat kemenangan ke atas lawan masing-masing.

Siti Shazwana menang 4-1 ke atas pesilat Singapura, Nurul Suhaila dalam kelas D Puteri (60-65kg) manakala Robial menundukkan seorang lagi pesilat Singapura, Sheikh Ferdous 5-0 dalam kelas H Putera (80-85kg).

Indonesia muncul juara keseluruhan dengan tujuh pingat emas dan empat gangsa, disusuli Malaysia (5-4-4) manakala Singapura berada di tempat ketiga dengan kutipan satu emas, empat perak dan dua gangsa.

Kejohanan pencak silat tahunan itu yang bermula sejak 3 Mei lalu disertai enam negara iaitu Indonesia, Singapura, Thailand, Belanda, Malaysia dan tuan rumah Belgium. - BERNAMA

Berita Harian X