Isnin, 8 Mei 2017 | 7:25pm

Media Prima beli REV Asia Holdings


Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Media Prima, Mohamad Ariff Ibrahim. -Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya, Media Prima Digital Sdn Bhd, mengambilalih 100 peratus kepentingan ekuiti REV Asia Holdings Sdn Bhd dalam urus niaga bernilai RM105 juta.

Pengambilalihan itu adalah satu lagi kejayaan dalam strategi syarikat media bersepadu terunggul di Malaysia itu memperluas dan memperkembangkan capaian serta kandungan digital dan platform media digital kumpulan.

Susulan pembelian strategik itu, capaian khalayak Media Prima akan melonjak sehingga 10.4 juta pengguna (lima juta pra pengambilalihan).

Ini sekali gus menjadikannya sebagai syarikat media digital terbesar Malaysia dan ketiga keseluruhan selepas Google serta Facebook, yang masing-masing mempunyai capaian 16.2 juta dan 13.7 juta pengguna.

REV Asia Holdings, iaitu anak syarikat Rev Asia Bhd adalah antara kumpulan media digital terkemuka di Asia Tenggara.

Portfolio Rev Asia merangkumi pelbagai segmen termasuk hiburan, gaya hidup dan sosial alaf baharu dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Cina. Syarikat itu mempunyai rekod prestasi media sosial dan pemasaran dalam talian yang kukuh.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Media Prima, Mohamad Ariff Ibrahim, berkata pengambilalihan itu adalah tepat pada masanya kerana kumpulan telah memulakan inisiatif berasaskan digital yang agresif bagi mengurangkan kebergantungan perniagaan ke atas pendapatan asas tradisional.

"Kami di Media Prima yakin dengan kandungan digital serta prospek pertumbuhan masa depan perniagaan berkenaan.

"Pengambilalihan strategik REV Asia Holdings menunjukkan komitmen kami untuk mengambil kesempatan daripada permintaan kandungan digital yang semakin meningkat dalam kalangan pengguna melalui peluasan jangkauan digital dan seterusnya meningkatkan kecekapan kumpulan dalam pemasaran kandungan digital, serta pemasaran asli iklan digital.

"Pengambilalihan ini juga dijangka memesatkan pertumbuhan sumbangan pendapatan daripada platform digital Media Prima dan mengembangkan jangkauan serta platform kami. Ia juga akan menjadikan Media Prima sebagai syarikat media bersepadu dan syarikat media digital terbesar di rantau ini," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

REV Asia Holdings mencatatkan pendapatan RM23.5 juta dan keuntungan bersih RM4.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016, masing-masing mewakili pertumbuhan 32 dan 27 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali, berkata Media Prima dijangka memperoleh potensi manfaat sinergi kerana kumpulan dapat memperluaskan tawaran media kepada pengguna biasa, pembeli media, pengiklan dan penerbit premium.

Katanya, REV Asia Holdings adalah sebuah syarikat sentiasa menunjukkan keuntungan yang mencatatkan pertumbuhan ketara hasil digital daripada segmen berita sosial miliknya sejak 2015.

"Syarikat ini mempunyai kepakaran dalam pengiklanan berasaskan kandungan asli yang banyak mendapat keuntungan lebih tinggi dan kepakaran mendalam semasa menghasilkan kandungan untuk kumpulan umur sasar, menjadikan satu nilai tambahan untuk Media Prima.

"Ini berita positif bagi kumpulan yang sentiasa berusaha mengambil kesempatan daripada peningkatan kepentingan digital di kalangan pengiklan," katanya.

INFO

  • Sejak 2016, Media Prima melancarkan beberapa inisiatif penting tawaran perkhidmatan digital dan perniagaan dalam talian
  • Ia termasuk pelancaran CJ Wow Shop, Super Deals dan rombakan portal tonton
  • Media Prima juga melancarkan inisiatif digital seperti portal pembelajaran interaktif FullAMark dan aplikasi mudah alih hak milik intelek seperti Ejen Ali, JRevolusi dan Jalan-Jalan Cari Makan

Berita Harian X