Isnin, 8 Mei 2017 | 8:56pm

Kante raih anugerah berganda pemain terbaik


N'GOLO Kante melengkapkan gelaran berganda musim ini apabila dipilih sebagai Pemain Tahunan Terbaik oleh Persatuan Penulis Sukan Bola Sepak Britain (FWA). - Foto AFP

LONDON: Pemain tengah Chelsea, N'Golo Kante melengkapkan gelaran berganda musim ini apabila dipilih sebagai Pemain Tahunan Terbaik oleh Persatuan Penulis Sukan Bola Sepak Britain (FWA), sebentar tadi.

Pemain kebangsaan Perancis berusia 26 tahun ini merangkul gelaran juara liga bersama Leicester City musim lalu dan kali ini, Kante bakal melengkapkan gelaran kedua berturut-turut bersama Chelsea.

Kante menewaskan rakan sepasukan, Eden Hazard selepas meraih majoriti undi oleh 340 ahli FWA - sebulan selepas dia dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA).

"Cukup menakjubkan apabila memenangi anugerah ini," kata Kante dalam kenyataan media.

"Apabila FWA memilih saya sebagai pemain terbaik di negara ini, ia satu detik yang cukup membanggakan dalam karier saya. Ini kerana, ramai lagi pemain yang hebat dalam skuad Chelsea, begitu juga dalam Liga Perdana,"

Kante menyertai Chelsea dari Leicester pada harga 32 juta pound (RM179.7 juta) tahun lalu dan bakal menjadi bintang yang begitu bernilai bagi kelab pendahulu liga bimbingan Antonio Conte itu.

Ketika ini, Chelsea hanya memerlukan dua lagi kemenangan daripada empat baki perlawanan liga untuk menjulang gelaran juara pada musim ini.

Hazard, yang memenangi gelaran berganda FWA dan PFA pada musim 2015, berada di tangga kedua undian tertinggi, manakala pemain tengah Tottenham Hotspur, Dele Alli di tangga ketiga.

Hazard dan Kante meraih lebih 65 peratus daripada undi penulis sukan, yang menilai 17 calon pemain lain.

Kante bakal menerima anugerah itu pada majlis makan malam penuh gemilang di London, 18 Mei ini.

"N'Golo lebih daripada layak untuk menerima anugerah berprestij di England," kata Pengerusi FWA, Paddy Barclay.

"Selepas menilai saingan dengan Eden Hazard dan pemain lain daripada skuad Chelsea, ini adalah satu pencapaian menakjubkan," katanya. - AFP

Berita Harian X