Selasa, 9 Mei 2017 | 1:19pm

Dafi teruja video Girl catat sejuta tontonan


PENYANYI, Dafi.

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Dafi, akan mengotakan janji merakamkan video muzik rasmi lagu Girl dalam masa terdekat apabila video liriknya sudah pun mencecah lebih sejuta tontonan, malam tadi.

Pencapaian itu juga mencatat sejarah peribadi buat bekas bintang Akademi Fantasia musim kelima berkenaan apabila ia muncul video muzik pertama nyanyiannya yang mencecah angka terbabit.

Lagu Girl ialah hasil ciptaan Hael Hussaini, Ezra Kong dan Omar K.

"Saya akan mengotakan janji kerana peminat bagai memberikan hadiah cukup istimewa dengan menonton video terbabit hingga lebih sejuta kali.

"Barangkali, bagi sesetengah penyanyi angka itu tidak memberikan sebarang makna. Video lagu nyanyian mereka mungkin boleh mencatat angka tontonan lebih daripada itu. Tetapi bagi saya yang belum pernah mencapai angka sedemikian, ia pencapaian yang luar biasa.

"Saya sendiri amat terkejut kerana menganggap angka tontonan itu sebagai mitos. Namun kini ia benar-benar terjadi. Insya-Allah, saya akan berbincang dengan pihak pengurusan Laugh Out Loud Entertainment untuk merealisasikan video muzik rasmi lagu Girl.

"Saya juga anggap inilah masa terbaik untuk menghasilkannya, ditambah pula berat badan saya kian menyusut sedikit," kata Dafi.

Ditanya mengenai album ketiganya yang diterbitkan oleh komposer Indonesia, Ahmad Dhani, Dafi yang ditemui pada sebuah acara di ibu kota memberitahu, beliau tidak terburu-buru mahu menyiapkannya.

"Jika diikutkan, semua 10 lagu untuk album berkenaan sudah siap dirakamkan. Proses menyiapkan album itu juga berjalan seperti biasa. Bagi saya, biarlah pembikinannya mengambil sedikit masa, jadi kami boleh menghasilkan sesuatu yang terbaik.

"Malah, video muzik lirik untuk 10 lagu terbabit pun sudah siap. Sekarang, hanya tunggu masa untuk menyiapkan video muzik rasmi untuk single pertama daripada album berkenaan. Judul sementara lagu itu ialah Masihkah Kamu," katanya.

Dafi menjadi artis pertama dari Malaysia yang bernaung di bawah Syarikat Republik Cinta milik komposer dari seberang itu sejak Disember 2014.

Berita Harian X