Rabu, 10 Mei 2017 | 11:36am
DATUK Seri Azalina bersama Datuk Seri Rohani di hadapan bangunan Mahkamah Majistret Stratford di London. - Foto BERNAMA

Wujudkan Pesuruhjaya Kanak-Kanak: Azalina


ISTERI Perdana Menteri yang juga Penaung Projek Permata Negara (Permata), Datin Seri Rosmah Mansor, bergambar bersama Pengurus Pendakwaan Perundangan, Paul Okebu (kanan) selepas lawatan ke Mahkamah Majistret Stratford (Mahkamah Khas Keganasan Domestik) di The Court House, High Street, London. Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said (lima, kiri); Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (empat, kiri) and Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad (kiri). -

LONDON: Pesuruhjaya Kanak-kanak perlu diwujudkan bagi memantau, menyelaras dan mengkaji semua undang-undang berkaitan jenayah seksual kanak-kanak, kata Menteri di Jabatan Perdana Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, pesuruhjaya itu yang akan bergerak secara bebas, bukan saja mengkaji peraturan undang-undang tetapi juga dari segi elemen dan dasar sesuatu undang-undang itu terhadap jenayah seksual kanak-kanak.

Keperluan untuk mewujudkan Pesuruhjaya Kanak-kanak ini akan dibentangkan kepada Kabinet minggu depan hasil tinjauannya ke atas Mahkamah Kanak-kanak di India dan United Kindom, kata Azalina kepada wartawan Malaysia di sini, semalam.

Azalina bersama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga Penaung Permata Negara, serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, mengadakan lawatan ke Mahkamah Majistret Stratford di sini, yang dijadikan Mahkamah Keganasan Rumah Tangga.

Selain mengikuti prosiding mahkamah berkenaan, mereka diberi taklimat oleh Pengurus Pendakwaan Perundangan mahkamah itu, Paul Okebu, mengenai pengendalian kes jenayah seksual kanak-kanak.

Mereka turut mengadakan pertemuan dengan pegawai Crown Prosecution Service yang diketuai Timbalan Ketua Bahagian Antarabangsa, Duncan Moass, mengenai perkara sama.

Turut bersama ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom, Datuk Ahmad Rasidi Hazizi dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad. - BERNAMA

Sebelum ke London, Azalina mengadakan lawatan ke India bagi melihat pelaksanaan Mahkamah Kanak-kanak di negara itu.

Menyentuh mengenai penubuhan Mahkamah Kanak-kanak yang pertama di Malaysia iaitu di Istana Kehakiman di Putrajaya, Azalina berkata, mahkamah yang akan mula beroperasi pada Jun ini akan turut mengendalikan kes jenayah seksual kanak-kanak di Kuala Lumpur dan Selangor.

Bagi mengendalikan kes berkaitan jenayah itu yang memerlukan kepakaran dan kefahaman mendalam mengenai kanak-kanak, beliau berkata, hakim Mahkamah Sesyen serta pihak pendakwaan akan menjalani kursus khas mulai esok.

Berita Harian X