Khamis, 11 Mei 2017 | 7:00am

Produk kecantikan bahan semula jadi di FMBH'17


NUR Safiyyah bersama produk penjagaan kecantikan keluaran syarikatnya, Pure by Safiyyah Osman.

KUALA LUMPUR: Khasiat penggunaan bahan semula jadi mendorong pemilik rangkaian produk penjagaan kecantikan, Pure by Safiyyah Osman menyertai dan berkongsi manfaat tumbuhan bersama pengunjung Fiesta Muslimah BH 2017 (FMBH'17), yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), 2 hingga 4 Jun depan.

Mengetengahkan pelbagai produk buatan sendiri, pemilik jenama produk itu, Nur Safiyyah Osman, 28, berkata sebagai tarikan, 100 pengunjung terawal bakal menerima produk percuma keluarannya.

Nur Safiyyah berkata, antara produk bakal diberikan secara percuma itu adalah salap bibir mini, pupur rambut mini dan balsam bayi.

Katanya, kesemua produk penjagaan diri diketengahkan diperkaya dengan penggunaan bahan semula jadi seperti pati minyak tumbuhan, minyak zaitun, minyak kelapa, serbuk koko, vitamin E, lidah buaya, madu dan haruman lavender.

"Kesemua rangkaian produk penjagaan diri diketengahkan dihasilkan sendiri menggunakan bahan semula jadi diimport dari Amerika Syarikat dan keluaran tempatan.

"Produk diketengahkan juga 100 peratus bebas daripada penggunaan bahan kimia atau pengawet yang boleh mencederakan kulit," katanya kepada BH.

Penjagaan lengkap

Jenama itu antara antara 100 vendor bakal memeriahkan lagi FMBH'17 yang tampil dengan konsep 'pasar lokal' pada edisi ketiga penganjurannya kali ini.

   Nur Safiyyah berkata, antara produk yang dijual ialah syampu, sabun, lulur dan pupur serta set penjagaan wajah lengkap diperkayakan dengan penggunaan bahan asli.

Katanya, produk ditawarkan dijual pada harga sederhana, bermula RM25 hingga RM100 bergantung pada koleksi rangkaian produk itu sendiri.

"Saya yakin produk ini bakal mencuri tumpuan wanita kerana rumusan bahannya yang bebas kimia dan ia sesuai untuk semua jenis kulit.

"Rangkaian produk ini lengkap dari hujung rambut hingga kaki juga memudahkan pelanggan dalam soal mencari jenama penjagaan diri," katanya.

Punyai ejen, stokis

Nur Safiyyah memulakan perniagaan itu dua tahun lalu bersama bantuan suami, Mohd Noradli Mohamad Yusop dan sambutannya menggalakkan.

Katanya, pengeluaran produk pada mulanya dihasilkan secara kecil-kecilan tetapi kini mampu dijadikan sumber pendapatan utama.

"Saya sudah mula menggunakan bahan semula jadi seperti madu sebagai rejim penjagaan wajah sejak berusia 15 tahun.

"Selepas suami terpaksa berhenti kerja secara sukarela (VSS) dari syarikat penerbangan, saya dan suami mula mengusahakan perniagaan ini bersama," katanya.

   Katanya, bermula dengan penjanaan pendapatan RM10,000 sebulan kini jenama penjagaan diri diusahakan sudah mempunyai tujuh pekerja selain ejen di Brunei dan Stokis di Singapura.

   Nur Safiyyah berkata, selepas dua tahun pendapatan diperoleh menjangkau RM80,000 sebulan dan beliau ingin menambah pengeluaran serta memperluaskan lagi pemasaran produknya.

"Saya mahu mencapai lebih ramai wanita di luar sana yang ingin mencari sumber pendapatan sampingan. Saya tidak meletakkan syarat tinggi untuk mereka mencuba, cukup bermula dengan modal RM400 sebagai ejen dan stokis bermodalkan RM800 setiap seorang," katanya.

Kali pertama

Katanya, penyertaan untuk jualan secara luar talian seperti FMBH'17 adalah kali pertama buatnya.

"Selain mempromosi produk menerusi laman sosial seperti Facebook dan Instagram, saya cuba menyertai bazar dan gerai jualan seperti ini sebagai usaha memperkenalkan jenama kepada pelanggan baharu.

"Saya percaya penyertaan saya dalam aktiviti jualan seperti ini dapat memperkukuhkan jenama produk yang giat diketengahkan ini," katanya.

Orang ramai yang ingin menyertai FMBH'17 boleh hubungi Hani dan Lisa menerusi talian 014-6639447; 013-2112591; 018-2742140 dan 012-6088969.

Berita Harian X