Khamis, 11 Mei 2017 | 9:30am

Kemalangan maut, polis cari 1 lagi kenderaan


KEADAAN kereta mangsa selepas merempuh sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti di Kilometer 324.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, malam tadi. - Foto ihsan Bomba

TAPAH: Seorang lelaki maut selepas kereta dinaiki merempuh sebuah kenderaan lain di Kilometer 324.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), hala utara, dekat sini, malam tadi.

Dalam kemalangan jam 8.21 malam itu, Yong Chi Yong, 23, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan selepas tersepit dalam kereta PERODUA Viva dipandunya.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Somsak Din Keliaw, berkata siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke utara sebelum kenderaan dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah kenderaan lain yang tidak dapat dikenal pasti.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan mayatnya dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti satu lagi kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah, Tarmizi Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 9.35 malam dan anggota bomba yang tiba mendapati kaki mangsa tersepit dalam kenderaan.

Berita Harian X