Jumaat, 12 Mei 2017 | 3:07pm

MDEC, Alibaba mudahkan PKS teroka pasaran global

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak melawat ibu pejabat e-dagang gergasi China Kumpulan Alibaba dalam Hangzhou, daerah Zhejiang - 180km barat daya Shanghai - atas jemputan pengasas dan Pengerusi Eksekutif Jack Ma (kiri). - Foto ihsan Facebook Najib Razak

BEIJING: Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC) akan bekerjasama dengan Alibaba Group dan Kerajaan Tempatan Hangzhou, China, dalam usaha memudahkan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyertai pasaran global.

Memorandum persefahaman (MoU) kerjasama itu dimeterai di Hangzhou, Wilayah Zhejiang, China, hari ini.

MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood; Ketua Pegawai Eksekutif Alibaba, Daniel Zhang dan Datuk Bandar Hangzhou, Xu Liyi.

Ia disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang dalam lawatan kerja lima hari ke China bagi menghadiri The Belt and Road Forum for International Cooperation (BRF) atas jemputan Presiden Xi Jinping.

Yang turut hadir, Setiausaha Parti Wilayah Zhejiang, Che Jun; Duta China ke Malaysia, Huang Hui Kang dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba, Jack Ma.

Di bawah MoU itu, ketiga-tiga pihak bersetuju bekerjasama untuk meneroka hubungan antara Zon Komprehensif E-Dagang Rentas Sempadan China (Hangzhou) dengan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang diusahakan Malaysia.

Ia bagi memudahkan pelaksanaan perdagangan elektronik rentas sempadan antara Malaysia dan Hangzhou.

MDEC, Alibaba dan Kerajaan Tempatan Hangzhou mengenal pasti empat bidang berpotensi bagi hubungan strategik.

Bidang berkenaan ialah meneroka saling hubungan antara projek pemandu Platform Perdagangan Dunia Elektronik (eWTP) milik Alibaba ke arah merealisasikan visinya.

Kedua, memudahkan kerjasama antara pihak berkuasa Malaysia dan Hangzhou dalam pelapasan kastam, pemeriksaan dan pengeluaran permit dengan memanfaatkan kuasa Internet serta data besar.

Ketiga, menggalakkan perdagangan elektronik rentas sempadan dengan memperluaskan kerjasama Platform Awam-Swasta ke arah mengurangkan halangan perdagangan.

Keempat, berkongsi pengetahuan serta amalan terbaik.

Najib menegaskan, usaha mengukuhkan perkongsian dengan China adalah mustahak bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Beliau juga berkata, e-perniagaan dan e-perdagangan jelas adalah masa depan bagi perdagangan dunia.

"Justeru, adalah mengujakan untuk menyaksikan pembentukan satu perkongsian antara kerajaan dan swasta untuk perdagangan rentas sempadan yang lebih cekap dalam era Internet ini untuk manfaat semua," katanya.

Berita Harian X