Sabtu, 13 Mei 2017 | 12:49am

Hospital di England 'lumpuh'


HOSPITAL dan pakar pembedahan di seluruh England terpaksa menolak pesakit dan membatalkan janji temu hari ini selepas serangan siber 'ransomware' melumpuhkan sebahagian sistem komputer perkhidmatan kesihatan kendalian negara itu. - Foto Reuters

LONDON: Hospital dan pakar pembedahan di seluruh England terpaksa menolak pesakit dan membatalkan janji temu hari ini selepas serangan siber 'ransomware' melumpuhkan sebahagian sistem komputer perkhidmatan kesihatan kendalian negara itu.

Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) berkata, 16 organisasi terjejas akibat serangan siber itu tetapi menegaskan ia bukan sasaran khusus.

Difahamkan, tiada data pesakit diakses oleh serangan berkenaan tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia memberi kesan ke atas kes kecemasan.

Dalam pada itu, kerajaan Sepanyol berkata, sebilangan besar syarikat termasuk syarikat telekomunikasi gergasi Telefonica, diserang penjenayah siber yang menjangkiti komputer dengan ransomware.

"Siasatan masih di peringkat awal tetapi kami percaya varian malware digunakan adalah Wanna Decryptor," kata agensi perkomputeran bagi perkhidmatan kesihatan Inggeris, Digital NHS, dalam satu kenyataan.

Hospital di seluruh England melaporkan serangan siber itu menyebabkan masalah besar ke atas perkhidmatan mereka dan orang ramai di kawasan yang terbabit dinasihatkan hanya mendapatkan rawatan perubatan kecemasan. - Reuters

Berita Harian X