Sabtu, 13 Mei 2017 | 12:44pm

Penyelidik temui cara sekat ransomeware


- Gambar hiasan

HONG KONG: Seorang penyelidik keselamatan siber menemui 'suis bunuh' yang boleh menghalang penularan WannaCry ransomware, buat masa ini, yang mencetuskan kekecohan serangan siber seluruh dunia.

Penyelidik berkenaan, menggunakan akaun Twitter sebagai @MalwareTechBlog, berkata penemuan itu secara tidak sengaja, tetapi pendaftaran nama domain digunakan perisian itu menghalang ia daripada terus tersebar.

"Pada dasarnya, mereka bergantung kepada domain yang tidak didaftarkan dan dengan mendaftarkan ia, kami menghalang perisian mereka daripada tersenar," @MalwareTechBlog memberitahu AFP dalam mesej persendirian di Twitter.

Bagaimanapun, penyelidik memberi amaran kepada orang ramai supaya mengemas kini sistem mereka secepat mungkin bagi mengelak serangan.

"Krisis ini belum berakhir, mereka boleh mengubah kod dan mencuba lagi," kata @MalwareTechBlog.

Gelombang serangan siber semalam, yang menjejaskan puluhan negara, mengeksploitasi kecacatan yang terdedah dalam dokumen bocor daripada Agensi Keselamatan Negara Amerika Syarikat.

Penyerang menggunakan teknik dikenali sebagai ransomware yang mengunci fail pengguna kecuali mereka membayar jumlah ditetapkan dalam bentuk mata wang maya Bitcoin. - AFP

Berita Harian X