Sabtu, 13 Mei 2017 | 8:02pm

'Saya tidak bimbang saingan pelari muda'

MOHD Izzudin (dua, kiri) bersaing dengan atlet SSTMI, Haiqal Hanafi pada acara 100m lelaki akhir kejohanan olahraga Terbuka Selangor di Stadium Universiti Malaya. - Foto Osman Adnan
MOHD Izzudin (dua, kiri) bersaing dengan atlet SSTMI, Haiqal Hanafi pada acara 100m lelaki akhir kejohanan olahraga Terbuka Selangor di Stadium Universiti Malaya. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Pelari negara, Mohd Izzuddin Yahaya melakar kejutan dalam kejohanan pertamanya tahun ini apabila merangkul pingat emas acara pecut 100 meter (m) lelaki di Kejohanan Olahraga Terbuka Selangor, hari ini.

Lebih menarik, Mohd Izzuddin yang kini berusia 31 tahun mengecewakan tujuh pesaing lebih muda, termasuklah pelari sensasi, Badrul Hisyam Abdul Manap pada aksi yang berlangsung di Arena Sukan Universiti Malaya.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin, Arau, Perlis itu tampak semakin bertenaga sejurus kembali ke acara balapan selepas berehat hampir setahun akibat kecederaan hamstring kanan.

"Buat masa ini saya tidak bimbang dengan mereka (pelari muda) dan saya tunggu mereka di Terbuka Malaysia kerana ini aksi pertama saya tahun ini.

"Saya harap terus bebas daripada kecederaan. Memang saya sudah berusia dan saya akui saya bukan muda lagi tapi mereka sukar kalahkan saya," katanya ketika ditemui.

Mohd Izzuddin tetap berhasrat menempah slot ke Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) pada Ogos ini dan cuba memperbaiki catatan peribadi terbaik iaitu 21.20s (Sukan SEA Singapura 2015) dalam acara 200m, esok.

"Saya tidak hiraukan rekod sebelum ini, catatan pelari lain sebelum ini, itu keputusan tahun lalu dan apa yang saya mahukan adalah keputusan tahun ini.

"Saya rasa tiada masalah dan saya sasarkan esok untuk acara 200m, saya tak tahu berapa catatan masa mampu dilakukan tapi saya akan cuba," katanya yang pernah beraksi di Singapura dua tahun lalu dalam acara 100m, 200m dan 4x100m.

Pemegang rekod acara 100m kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan bagaimanapun tidak mengambil bahagian dalam kejohanan ini dan hanya hadir sebagai penonton.

Keputusan: 100m lelaki (akhir)

Mohd Izzuddin Yahaya (MAKSAK Perlis) 10.66s

Muhammad Haikal Hanafi (SSTMI) 10.68s

Badrul Hisyam Abdul Manap (SSTMI) 10.79s

100m wanita (akhir)

Nur Aliyah Ab Rahman (SSTMI) 12.27s

Kugapriya Chandran (Singapura) 12.34s

Norris Foo (SSTMI) 12.47s

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X