Sabtu, 13 Mei 2017 | 11:18pm
PEMAIN Pahang meraikan kejayaan mereka setelah mengalahkan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan separuh akhir pusingan kedua Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini. Keputusan itu membolehkan Pahang mara ke final dengan agregat 3-1 bagi menentang Kedah. - Foto BERNAMA

Pahang mara ke final Piala FA

SEREMBAN: Kebangkitan pada babak kedua yang cuba dipamerkan Negeri Sembilan tidak membantu apabila tewas 1-2 kepada Pahang dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Keputusan itu membolehkan Pahang mara ke final bagi perhitungan terakhir menentang Kedah dengan agregat 3-1.

Biarpun mendapat sokongan padu kira-kira 30,000 penyokong, kebangkitan yang cuba dipamerkan terlewat apabila setiap percubaan ke arah pintu gol lawan pada minit-minit terakhir permainan tidak membuahkan hasil.

Sebaliknya, Pahang yang juga juara 2014, tampil mantap untuk meleburkan rekod cemerlang Negeri Sembilan di gelanggang sendiri musim ini.

Negeri Sembilan memulakan beberapa gerakan pantas seawal minit pertama permainan apabila berjaya memecah benteng Pahang namun jentera serangan diketuai Bruno Suzuki gagal menghasilkan sebarang tindakan positif.

Sebalik gawang Negeri Sembilan dikejutkan dengan jaringan Jaewon Heo pada minit keenam yang menanduk kemas tendangan percuma Ahmad Syamim Yahya untuk menewaskan Saiful Amar Sudar.

Jaringan itu menyentap semangat skuad Hobin Jang Hobin dengan cuba melakukan serangan pantas dan berpeluang menyamakan kedudukan namun percubaan Suzuki lima minit kemudian dari dalam kotak penalti tidak menepati sasaran.

Skuad Tok Gajah yang kerap melakukan serangan balas pantas nyata memberi tekanan buat bahagian benteng tuan rumah membuatkan sebahagian pemain segera meninggalkan posisi tengah bagi menyekat serangan pelawat yang diketuai Sumareh Mohamadau dan Matheus Alves.

Begitupun, dua peluang terbaik yang diperoleh Negeri Sembilan pada minit ke-20 dan 28 dengan bola melintasi dalam kawasan gol gagal disambar baik barisan depan.

Pada minit ke ke-39, tandukan Annas Rahmat yang menerima bola dari sepakan sudut terlalu lemah sekali gus mudah bagi penjaga gol Pahang, Wan Muhammad Azraie Wan Teh mengawal keadaan.

Usaha anak buah Mohd Asri Ninggal untuk merapatkan jurang tidak kesampaian biarpun berjaya mencipta beberapa peluang di hadapan pintu gol Pahang selain dapat menguasai sebahagian permainan untuk menamatkan separuh masa pertama dengan Pahang berada di depan.

Negeri Sembilan yang bertekad mencipta kejutan cuba menyusun gerak dengan melakukan asakan ke kubu Pahang, sebaik perlawanan bersambung.

Suzuki akhirnya berjaya memecah kebuntuan skuad Rusa apabila menanduk kemas bola hantaran bahagian tepi, untuk menjaringkan gol pertama tuan rumah pada minit ke-67.

Jaringan itu nyata membangkitkan semangat pemain Negeri Sembilan apabila terus berusaha melancarkan serangan ke kubu Pahang dalam usaha mendapatkan gol.

Bagaimanapun pemain gantian Christie Jayaselan memadam terus impian Negeri Sembilan apabila menjaringkan gol kedua Pahang pada minit ke-90, untuk menamatkan saingan itu dengan agregat 3-1, sekali gus membawa Pahang mara ke pentas final di Stadium Shah Alam, 20 Mei ini.

Berita Harian X