Ahad, 14 Mei 2017 | 7:28pm

Rangkul 2 emas pecut tapi Izzuddin kecewa


PELARI Maksak Perlis, Mohd Izzuddin Yahya memenangi acara 200m lelaki akhir dengan catatan 21.60s pada kejohanan olahraga Terbuka Selangor di Stadium Universiti Malaya. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Selepas merangkul pingat emas acara 100 meter (m) semalam, Mohd Izzuddin Yahya sekali lagi menepati ramalan apabila mengungguli saingan pecut 200m Terbuka Selangor di Pusat Sukan Universiti Malaya (UM), sebentar tadi.

Pada aksi final, Mohd Izzuddin yang mewakili Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Anggota Kerajaan (MAKSAK) Perlis merakam 21.60 saat, jauh meninggalkan D Kannathasan (22.01s) dan Muhamad Azim Ifwat Mohd Azam (22.86s).

Walaupun menggondol dua pingat emas, Mohd Izzuddin tetap kecewa kerana beberapa nama besar dalam acara itu seperti Badrul Hisham Abd Manap tidak turut serta.

Mohd Izzuddin merasakan kehadiran pelari terbaik negara cukup penting buatnya untuk meningkatkan prestasi dan memperbaiki catatan masa dalam misinya memburu slot ke Sukan SEA 2017 pada Ogos ini.

"Ada sedikit rasa kecewa apabila pelari lain seperti Badrul tidak sertai kejohanan ini, tetapi paling penting saya dapat menghabiskan larian tanpa kecederaan.

"Saya tidak ada rasa takut terhadap mereka kerana jika mereka ada, ia akan memberi lebih saingan dan tentunya akan dapat memperbaiki catatan masa.

"Apabila ada pelari terpantas, secara automatik ia akan membakar semangat saya untuk berlari lebih laju. Apabila mereka laju, saya akan kejar mereka," katanya.

Selepas ini Mohd Izzuddin akan menyertai beberapa lagi pertandingan termasuk Terbuka Perlis minggu depan, dengan tumpuan khas kepada acara riben biru - 100m dan 200m.

"Untuk Sukan SEA, saya akan cuba yang terbaik. Saya akan fokus kepada 100m dan 200m kerana ia acara kegemaran saya sejak dulu lagi," katanya.

Berita Harian X