Selasa, 16 Mei 2017 | 12:45am
POLIS membawa mayat wanita warga emas, yang ditemui mati di kediamannya, dipercayai dibunuh. - Foto Nor Azizah Mokhtar

Wanita warga emas mati dipercayai dibunuh


POLIS membawa mayat wanita warga emas, yang ditemui mati di kediamannya, dipercayai dibunuh. - Foto Nor Azizah Mokhtar

AMPANG JAYA: Seorang wanita warga emas ditemui mati dalam kediamannya di Blok I Flat Taman Dato Ahmad Razali, di sini, dipercayai dibunuh, petang tadi.

Mayat Saliha Sheikh Mohamed, 65, dikatakan ditemui dalam keadaan terbaring di hadapan pintu bilik air rumah itu oleh seorang penyewa bilik di kediamannya, kira-kira jam 6 petang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, berkata pemeriksaan di tempat kejadian tidak menemui sebarang kesan pintu atau rumah itu dipecah masuk.

"Pemeriksaan turut mendapati mangsa tidak mengalami kecederaan luaran yang serius, justeru punca sebenar kematiannya belum dapat dipastikan.

"Mayatnya dihantar ke Hospital Ampang untuk dibedah siasat dan buat masa ini, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Beliau berkata, pihak polis menjalankan siasatan berhubung motif sebenar kejadian itu.

Berita Harian X