Selasa, 16 Mei 2017 | 7:41pm

35 pelajar SK Taman Selasih di Kulim keracunan


PENGARAH Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail.- Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Sekurang-kurangnya 35 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Selasih di Kulim, dekat sini, mengalami keracunan disyaki selepas makan di kantin sekolah ketika waktu rehat pagi tadi.

Semua mangsa membabitkan murid tahun satu hingga lima itu dikatakan mengalami simptom keracunan khususnya muntah, selain sebahagian lagi turut mengalami cirit-birit.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail, mengesahkan kejadian itu susulan notifikasi diterima Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kulim pada jam 1 petang, membabitkan 35 daripada 954 pelajar sekolah berkenaan.

Beliau berkata, sehingga kini hanya lima murid mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kulim iaitu tiga pelajar perempuan berusia 10 tahun, seorang pelajar lelaki berusia tujuh tahun dan seorang pelajar perempuan berusia 11 tahun.

"Berdasarkan siasatan, kebanyakan mangsa mula mengalami simptom pada jam 11.45 pagi dan disyaki berpunca daripada nasi putih dan ayam goreng yang dimakan semasa waktu rehat antara jam 9.40 hingga 11.10 pagi.

"Pemeriksaan di kantin sekolah oleh PKD Kulim mendapati kantin berkenaan cuma menjual makanan yang siap dimasak di tempat lain iaitu oleh pengusaha kantin Kolej Vokasional Kulim yang mula beroperasi di SK Taman Selasih hari ini, menggantikan pengusaha lama yang tamat perkhidmatan semalam," katanya dalam kenyataan, di sini.

Dr Norhizan berkata, sehingga kini aktiviti kawalan dan pencegahan dilakukan pihaknya termasuk membabitkan penutupan premis penyediaan makanan terbabit di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Pendidikan kesihatan dan edaran risalah diberikan kepada pihak pengurusan sekolah khasnya mengenai kaedah lihat, bau dan rasa, manakala pengusaha kantin serta pengendali makanan diberi nasihat dan teguran berkaitan penyediaan makanan yang selamat," katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut mengenai kejadian itu terus dijalankan PKD Kulim.

13 dibaca
Berita Harian X