Rabu, 17 Mei 2017 | 5:30pm

Atlet karate 'bertempur' di Seremban


Atlet pasukan Karate bersedia untuk temasya Sukan SEA semasa sesi latihan di MSN Bukit Jalil. - Foto NSTP/Hasriyasyah Sabudin

SEREMBAN: Seramai 168 atlet daripada 20 ahli gabungan Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) akan menyertai Kejohanan Karate Senior Kebangsaan Ke-37 di Dewan Majlis Perbandaran Seremban pada Jumaat dan Sabtu ini.

Kejohanan dianjurkan Persatuan Karate-Do Negeri Sembilan (NSKA) dengan kerjasama Makaf, Majlis Sukan Negeri Sembilan serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan.

Timbalan Presiden NSKA, Shamsudin Shaik Ali Sayabo berkata, kejohanan juga adalah laluan pemilihan terakhir bagi atlet karate Malaysia yang akan menyertai Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos depan.

Kejohanan yang membuka gelanggang pada Khamis ini menjadi medan tempur bagi atlet daripada 20 ahli gabungan Makaf memburu kilauan pingat melalui beberapa kategori yang dipertandingkan.

"Turut mencuri tumpuan pada kejohanan kali ini adalah acara Kumite bagi kategori 18 tahun ke atas dan acara Kata bagi kategori 16 tahun ke atas," katanya kepada BERNAMA.

Kejohanan dijangka dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan manakala majlis penutup oleh Presiden Makaf, Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Sementara itu, Shamsudin berkata, seramai 60 pengadil menyertai seminar dan menduduki peperiksaan pengadilan karate di sini hari ini dan esok.

"Peperiksaan pengadilan itu bertujuan untuk menaik taraf pengadil Kumite dan Kata sedia ada," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X