Rabu, 17 Mei 2017 | 7:23pm

'Jangan panik, ancaman 'ransomware' terkawal'

MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab ketika sidang media serangan siber Ransomware di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberi jaminan serangan siber 'ransomware' di negara ini masih terkawal walaupun perisian kod hasad WanaCrypt0r 2.0. itu melumpuhkan rangkaian komputer di hampir 100 negara.

Menterinya, Datuk Seri Madius Tangau, berkata orang ramai dinasihatkan tidak panik atau mempercayai pelbagai mesej yang menjadi viral menerusi laman sesawang sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan pengguna berwaspada ketika menggunakan laman sesawang terutama menekan bagi mencapai sebarang pautan di media sosial.

"Pautan termasuk imej atau video menerusi aplikasi WhatsApp, Facebook, Instagram, Twitter atau aplikasi lain.

"Organisasi atau pentadbir sistem perlu berwaspada dan mengambil tindakan perlu bagi melindungi serta menjamin keselamatan infrastruktur rangkaian komputer mereka.

"Serangan virus itu berpunca daripada aplikasi berkenaan dan kealpaan pengguna internet itu sendiri," katanya pada sidang media khas mengenai 'ransomware' di sini, petang ini.

Madius turut menggesa orang ramai membuat laporan jika mendapati komputer mereka terkena serangan terbabit.

Sehingga kini, katanya, hanya dua laporan diterima CyberSecurity Malaysia (CSM) membabitkan sebuah organisasi swasta dan sebuah institusi pendidikan.

Ketua Pegawai Eksekutif CSM, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab, dalam satu kenyataan kelmarin, menasihatkan orang ramai supaya tidak mengklik pautan yang dihantar bersama e-mel dan fail mencurigakan selain merujuk kepada amaran serta nasihat CSM menerusi laman web korporat di bawah MyCERT untuk pencegahan.

Berita Harian X