Khamis, 18 Mei 2017 | 3:30pm

Filipina tolak geran EU


PRESIDEN Rodrigo Duterte. - Foto Reuters

MANILA: Filipina tidak lagi menerima geran daripada Kesatuan Eropah (EU), kata wakil blok negara Eropah itu ke Manila, hari ini selepas Presiden Rodrigo Duterte berulang kali mengutuk Eropah kerana mengkritik perang dadah beliau.

"Kerajaan Filipina memaklumkan, mereka tidak lagi menerima geran baharu EU," kata delegasi itu dalam satu kenyataan ringkas.

Duta EU ke Manila, Franz Jessen berkata, keputusan itu membabitkan beberapa geran bernilai 250 juta euro (RM1.08 bilion).

Pegawai kerajaan Filipina tidak memberikan maklum balas, setakat ini namun jabatan kewangan memaklumkan satu kenyataan akan diberikan lewat, hari ini.

Duterte, 72, berulang kali mengutuk pembuat dasar Eropah dan EU kerana mengutuk perang dadah beliau yang sudah meragut beribu-ribu nyawa setakat ini selain dikritik komuniti antarabangsa sebagai jenayah kemanusiaan.

Dalam beberapa kenyataan, tahun lalu beliau menggunakan perkataan kesat sehingga menunjukkan simbol jari tengah sebagai tindak balas terhadap parlimen Eropah yang menyuarakan kebimbangan ke atas pembunuhan itu.

Kerajaan Jerman turut menyuarakan kebimbangan selepas Duterte, tahun lalu membanding perang dadah beliau dengan insiden Holocaust pemimpin Nazi Jerman, Adolf Hitler.

"Hitler membunuh tiga juta Yahudi. Kini ada tiga juta penagih dadah di Filipina. Saya amat gembira untuk membunuh mereka," kata Duterte. - AFP

Berita Harian X