Khamis, 18 Mei 2017 | 4:39pm

Geng Koki tumpas

KETUA Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din. - Foto Sairien Nafis
KETUA Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din. - Foto Sairien Nafis

PETALING JAYA: Kumpulan samun dan curi kenderaan dikenali sebagai Geng Koki, yang aktif sejak bulan lalu, tumpas susulan penahanan sembilan suspek di beberapa lokasi sekitar Petaling Jaya.

Penahanan sembilan suspek berusia lingkungan 20-an hingga 30-an itu dibuat selepas polis mengesan lima daripada suspek yang baru sahaja menyamun dan melarikan sebuah kereta milik seorang pesara tentera di plaza tol Sri Muda menghala ke Alam Impian, Shah Alam, pada 17 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya mengesan dan menahan suspek kurang empat jam selepas mereka melarikan Toyota Camry berkenaan dengan bersenjatakan parang.

"Pasukan khas kita mengesan dua buah kereta, satu kereta jenis Perodua Myvi yang diletakkan bersebelahan Toyota Camry, yang baru sahaja disamun di Jalan Bukit Jalil Indah, Bandar Kinrara.

"Ketika itu, dua suspek sedang memunggah barang dari but Toyota Camry berkenaan. Tiga lagi suspek, termasuk dua orang perempuan berada di dalam Perodua Myvi, yang turut dikenal pasti sebagai kenderaan curi.

"Kita turut menemui semula selaras senapang patah milik pesara tentera itu ketika memeriksa Toyota Camry berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Zani berkata, tangkapan itu membawa kepada penahanan empat lagi suspek dipercayai ahli geng terbabit di Flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Jalil, Flat PPR Seksyen 8 Kota Damansara dan di Taman Sri Manja, Petaling Jaya.

"Siasatan awal kita mendapati lima daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau, iaitu berkaitan kes penyalahgunaan dadah dan samun, manakala tiga lagi suspek adalah orang yang dikehendaki polis, juga dalam kes penyalahgunaan dadah.

"Kita juga tidak menolak kemungkinan semua suspek ini terbabit dengan kegiatan kongsi gelap berdasarkan pada rekod lampau dan modus operandi mereka," katanya.

Zani berkata, setakat ini, Geng Koki itu didapati terbabit dalam tujuh kes di kawasan IPD Petaling Jaya, dua kes di IPD Sungai Buloh dan satu kes di IPD Shah Alam.

"Jumlah ini mungkin bertambah apabila siasatan lengkap," katanya.

Semua suspek direman pada petang ini . Siasatan dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan dan bersenjata.

Berita Harian X