Khamis, 18 Mei 2017 | 6:30pm

'Geng Aunty' lumpuh

KETUA Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz salleh (tengah) bersama anggotanya menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Aman, Bukit Sekilau. - Foto Farizul Hafiz Awang
KETUA Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz salleh (tengah) bersama anggotanya menunjukkan dadah yang berjaya dirampas dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Aman, Bukit Sekilau. - Foto Farizul Hafiz Awang

KUANTAN: Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah didalangi 'Geng Aunty' selepas menahan lima individu termasuk sepasang suami isteri dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Aman, Jalan Bukit Sekilau di sini, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 4.45 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan itu, dua lelaki dan tiga wanita berusia antara 36 hingga 55 tahun ditahan.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, pemeriksaan pada rumah dimiliki seorang daripada suspek turut membawa kepada penemuan 875.85 gram heroin, 27.50 gram heroin dan 330 biji erimin 5 yang keseluruhannya bernilai RM26,800.

"Siasatan awal mendapati dadah berkenaan adalah untuk kegunaan penagih di sekitar bandar ini dan golongan nelayan menjadi antara pelanggan sasaran.

"Mereka mendapat bekalan dadah dari Kuala Lumpur dan semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah mengikut Seksyen 12(2), 39A(1) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, seorang daripada suspek wanita turut dikehendaki mengikut Seksyen 15(1) ADB 1952 selain mempunyai rekod mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri.

"Ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan direman tujuh hari sehingga 23 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan 39A(1) ADB 1952.

"Kita masih menjalankan siasatan sama ada mereka mempunyai kaitan dengan sindiket atau kumpulan pengedaran dadah yang lain di daerah ini," katanya.

Berita Harian X