Khamis, 18 Mei 2017 | 7:26pm

Tingkat R&D bidang perisian komputer

Menteri Sains , Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau (dua dari kiri) melakukan lawat tapak pameran selepas merasmikan Program Tahun Pengkomersialan MAlaysia (MCY) di Technology Park Malaysia, Bukit Jalil. - Foto NSTP/Syarafiq Abd Samad

KUALA LUMPUR: Malaysia disaran meningkatkan usaha dan pelaburan dalam usaha penyelidikan dan pembangunan (R & D) terutama dalam bidang perisian serta keselamatan komputer bagi menangani ancaman siber. 

Saranan itu berikutan ancaman siber dilihat semakin aktif di seluruh dunia seperti serangan 'ransomware' perisian kod hasad WanaCrypt0r 2.0. yang melumpuhkan rangkaian komputer hampir 100 negara baru-baru ini.

Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata R&D dalam bidang perisian komputer amat penting seiring kemajuan teknologi, selain kesedaran serangan dan keselamatan siber dalam kalangan masyarakat.

"Kita perlu perluaskan lagi usaha penyelidikan dan pembangunan dalam bidang perisian siber supaya sentiasa bersedia menangani serang alam maya. 'Pencuri' kini wujud dalam bentuk maya dan amat berbahaya kerana apabila diminta membayar 'wang tebusan' secara maya kepada penerima tanpa mengetahui identitinya.

"Malah masyarakat seharusnya menggunakan perisian tulen dan didaftarkan, selain perlu lebih berwaspada setiap kali melayari laman sesawang terutama ketika menekan sebarang pautan termasuk imej serta video," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2.0 Ekosistem Program Sokongan di Taman Teknologi Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Seri Dr Mohd Azhar Yahaya; Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Shamsiah Kamaruddin dan Setiausaha Bahagian Kanan (Dana dan Pengkomersialan R&D) MOSTI, Suhaimi Hamzah.

MCY2.0 bagi tempoh tahun ini hingga 2019, memfokuskan kepada inisiatif memastikan hasil penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R,D&I) dapat dikomersialkan.

Wilfred juga menasihatkan yang diserang 'ransomware' supaya segera membuat laporan kepada Cyber ​Security Malaysia (CSM) menerusi pusat bantuan Cyber999. 

Sementara itu, Perunding Kanan Evault Technologies, L Yelaiarasan, berkata serangan virus itu boleh dielak dengan mengamalkan langkah keselamatan siber.

"Pengguna dinasihat memuat turun perisian antivirus disahkan, selain sentiasa mengemas kini perisian berkenaan bagi melindungi komputer daripada serangan virus dalam talian," katanya.

Evault Technologies adalah syarikat keselamatan siber di bawah bidang kuasa CSM yang berjaya mengkomersialkan sistem keselamatan data melalui pembiayaan dana MOSTI. 

Berita Harian X