Khamis, 18 Mei 2017 | 8:28pm

Kedah yakin dapat atasi Pahang

PEMANGKU ketua jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff. - Foto Eizairi Shamsudin
PEMANGKU ketua jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff. - Foto Eizairi Shamsudin

SHAH ALAM: Tiada perubahan perlu dilakukan terhadap pasukan Kedah menjelang aksi final Piala FA menentang Pahang pada Sabtu ini, walaupun kesebelasan utama belum diputuskan.

Pemangku ketua jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff, berkata pada aksi separuh akhir kedua menentang Terengganu, pemain sudah menunjukkan prestasi terbaik mereka.

"Saya tidak nampak perlu melakukan perubahan kerana separuh akhir kedua pemain menunjukkan prestasi terbaik, jadi ia hanya disambung pada final nanti.

"Saya belum buat keputusan siapa akan diturunkan. Namun sebahagian besar pemain yakin akan menjuarai Piala FA tahun ini," kata Mohd Nidzam ketika ditemui pada sesi latihan pasukan itu di padang Sime Darby FC, hari ini.

Mengulas lanjut, jurulatih berasal dari Taiping, Perak itu berkata, anak didiknya tidak perlu risau bertemu Pahang kerana masing-masing mempunyai tahap keyakinan yang tinggi.

"Mereka sudah menang selesa di separuh akhir, jadi tidak ada apa perlu dirisaukan. Sejak ambil alih pasukan ini, saya nampak pemain bagi komitmen, kerjasama dan berdisiplin.

"Saya cuma menyambung apa yang jurulatih Tan Cheng Hoe beri kepada mereka, itu yang bagusnya pemain pasukan Kedah," katanya.

Kedah akan membuat perhitungan terakhir menentang Pahang di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X