Jumaat, 19 Mei 2017 | 2:22pm

'Tiada laporan ramsomware'


MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau meninjau tapak penanaman herba Kacip Fatimah pada Majlis Penyerahan Projek MOSTI Social Innovation (MSI) 16032 Bagi Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP) - Projek Penanaman Herba Kacip Fatimah kepada Persatuan Peniaga Kecil Kampung Sagil di Kampung Sagil Parit 2, Tangkak, hari ini. - Foto Adi Safri

TANGKAK: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) tidak menerima laporan ancaman ransomware setakat ini.

Menterinya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata laporan berkaitan isu itu yang diterima sebelum ini disahkan palsu dan bukan ransomware.

"Bagaimanapun, kita tetap menggalakkan masyarakat melaporkan sebarang insiden mencurigakan kepada pihak Cyber Security untuk ditangani," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek MOSTI Social Innovation (MSI) 16032 Bagi Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP) - Projek Penanaman Herba Kacip Fatimah kepada Persatuan Peniaga Kecil Kampung Sagil di Kampung Sagil Parit 2 di sini, hari ini.

Madius berkata, ancaman ransomware bukan perkara baharu.

"Apa yang berlaku sekarang bukan ransomware tetapi ransomworm yang boleh berjangkit.

"Kalau satu komputer diserang ransomworm, ia boleh terkena komputer lain tetapi buat masa ini keadaan masih terkawal," katanya.

Berita Harian X