Sabtu, 20 Mei 2017 | 11:37pm

Jadikan al-Quran panduan, ikutan


YANG di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan bertitah pada majlis Penutup dan Pengurniaan Hadiah sempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bertitah, umat Islam perlu bersatu hati dan berpegang teguh kepada pedoman Ilahi dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan serta ikutan sepanjang hayat.

Baginda bertitah, kesempurnaan Islam perlu dizahirkan bagi membina ukhuwah Islamiah, selain keindahan agam itu perlu difahami serta kesyumulan (kesempurnaan) Islam perlu dihayati.

Titah baginda, persengkataan dalam aliran pemikiran perlu dijauhi dan menerima sesuatu perbezaan itu sebagai sesuatu yang membina peradaban.

"Al-Quran adalah rahmat, petunjuk, peringatan, pelengkap, pembimbing, pedoman dan panduan kepada manusia di sepanjang zaman.

"Kandungan al-Quran sentiasa relevan merentasi masa, melepasi tempat dan melangkaui apa jua masalah dan situasi.

"Marilah kita menjadikan al-Quran sebagai panduan utama dalam melaksanakan peranan sebagai khalifah di bumi Allah.

"Manfaatkanlah kekuatan akal anugerah Ilahi dan kebijaksanaan pemikiran manusia untuk mengolah dan mencari jalan terbaik mentadbir alam ini," titah baginda pada Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-59, malam ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas bersama isteri Toh Puan Majimor Shariff; Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan melancarkan Kompleks Nasyrul Quran, iaitu pusat percetakan al-Quran kedua terbesar di dunia, dalam masa terdekat.

Katanya, kompleks itu adalah satu daripada ikhtiar kerajaan untuk mempertingkatkan di Malaysia dan seluruh dunia.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak beriltizam tinggi untuk menjadikan kompleks ini sebagai antara pusat percetakan al-Quran terulung di Asia Tenggara, sekali gus menunjangi penyebaranny di seluruh dunia.

"Secara peribadi, saya menganggap komitmen kerajaan dalam pembinaan kompleks ini sebagai anugerah terulung pada penganjuran MRHQA yg bakal mencapai usia 60 tahun," katanya.

Berita Harian X