Ahad, 21 Mei 2017 | 1:57pm

PRAB beri amaran banjir lebih awal

TIMBALAN Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar merangkap Ahli Parlimen Ledang, Datuk Hamim Samuri berucap ketika Majlis Perasmian Mini Agro Johor Daerah Tangkak di Dataran Ledang. - Foto Adi Safri

TANGKAK: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar kini sedang membangunkan Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang dilihat mampu memberi amaran banjir lebih awal kepada penduduk berisiko tinggi terdedah kepada bencana itu di seluruh negara.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri berkata projek terbabit akan dibangunkan di seluruh negara dengan anggaran keseluruhan kos sebanyak RM500 juta yang diluluskan menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun.

Katanya, bagi fasa pertama membabitkan kos sebanyak RM100 juta, PRAB akan memberi fokus kepada negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang yang sering terjejas bencana banjir, terutama pada musim tengkujuh.

"PRAB dilihat berupaya memberi ramalan dan amaran banjir lebih awal. Kalau sekarang kita dapat meramalkan dalam tempoh dua hari lebih awal, program ini dijangka dapat meramalkan sehingga seminggu lebih awal.

"Program ini juga membantu penduduk terutama di kawasan sensitif banjir supaya dapat bertindak lebih awal terutama dalam menyelamatkan harta benda, dokumen dan paling penting nyawa," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengagihan Wang Ihsan Kepada Mangsa Banjir Daerah Tangkak di Dewan Serbaguna Bukit Gambir di sini, hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gambir, Datuk M Asojan; Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor, Kolonel (PA) Mat Zin Bujang dan Pegawai Daerah Tangkak, Abdul 'Alim Abdul Shukor.

Terdahulu, Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang menyerahkan bantuan wang ihsan masing-masing sebanyak RM500 kepada 444 keluarga dari mukim Tangkak, Gersik, Serom, Kundang dan Bukit Serampang yang terjejas banjir pada 24 Januari hingga 2 Februari lalu.

Hamim berkata, menerusi PRAB ini juga segala maklumat mengenai banjir akan disebar menerusi pelbagai medium seperti sistem khidmat pesanan ringkas (SMS), aplikasi WhatsApp, media sosial, media dan agensi kerajaan berkaitan.

"Program PRAB ini juga praktikal kerana ia akan menggunakan teknologi moden yang canggih termasuk penggunaan satelit. Kita kini baharu sahaja selesai melakukan kerja pembangunan termasuk membuat reka bentuk, perisian dan konsultansi," katanya.

Berita Harian X