Ahad, 21 Mei 2017 | 10:49pm

Arnold Schwarzenegger kutuk dasar Trump


BEKAS Gabenor California, Arnold Schwarzenegger. - Foto EPA

CANNES, PERANCIS: Bekas Gabenor California, Arnold Schwarzenegger, berkata rancangan Presiden Donald Trump untuk meluluskan penggunaan arang batu akan membawa dunia kembali kepada zaman pengangkutan kereta kuda.

"Dia mahu kembali ke zaman batu," kata bintang Hollywood, yang juga aktivis kepada pemberita di Pesta Filem Cannes, di sini, hari ini.

Pelakon watak utama filem Terminator itu berkata, beliau bimbang dasar Trump yang menggalakkan penggunaan bahan api berasaskan fosil seperti gas, arang batu dan minyak akan membawa keburukan pada bumi.

"Beliau diberi maklumat salah mengenai isu alam sekitar. Bagaimanapun, seorang lelaki tidak boleh memusnahkan bumi, terutama pemimpin yang kurang berkesan.

"Tiada apa yang dilakukannya sejak menjadi presiden. Bila saya dengar dia mahu meluluskan penggunaan arang, itu seperti undur ke belakang. Lepas ini, dia mungkin mengembalikan semula zaman kereta kuda," katanya.

Schwarzenegger menambah, sama ada Trump ada atau tidak, dunia harus maju ke depan. - AFP

Berita Harian X