Rabu, 24 Mei 2017 | 11:35am

Didenda, penjara kerana cuba rasuah polis


TERTUDUH, Mohd Jamal Nasir Mohamd Tahar, 36 didenda RM15,000 dan penjara empat minggu kerana cuba memberi rasuah kepada anggota polis bagi mengelak ditahan dan menjalani ujian saringan air kencing, di Port Dickson, April tahun lalu. - Foto Hazreen Mohamad

SEREMBAN: Seorang pekerja kontrak pendawaian elektrik dipenjara empat minggu dan denda RM15,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana cuba merasuah anggota polis di Port Dickson, April tahun lalu.

Mohd Jamal Nasir Mohamd Tahar, 36, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Tertuduh didakwa memberi suapan sebanyak RM600 kepada Koperal R Anbalagan dari Balai Polis Lukut, supaya tidak ditahan dan dibawa ke Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, untuk menjalani ujian saringan air kencing.

Perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran Stesen Minyak Petronas Diambang Kota, Chuah, Jalan Sepang-Lukut, Port Dickson, pada jam 11 pagi, 12 April 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Karmila Mokhtar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim turut mengarahkan tertuduh dipenjara tujuh bulan jika gagal membayar denda.

11 dibaca
Berita Harian X