Rabu, 24 Mei 2017 | 12:20pm

Geran SUPERB bantu syarikat tembusi pasaran antarabangsa

MOHD Azhan bersama kerusi rawatan mudah alih 'Stuhl 20 yang dicipta menerusi bantuan geran SUPERB.

"TERAJU bukan sahaja membantu dari segi pembiayaan kewangan, tetapi juga memberi bimbingan dan sokongan dari segi kemahiran dan peluang meluaskan hubungan syarikat kami dengan agensi lain," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Waterbay Sdn Bhd, Mohd Azhan Ahmad, 41, dari Pulau Pinang.

Katanya, kejayaan memperoleh geran Skim Permulaan Usahawan Bumiputera (SUPERB), Unit Peneraju Agenda Bumiputera membolehkan beliau memperluaskan pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) syarikatnya.

Beliau berkata, ini membolehkannya mengembangkan pasukan kejuruteraan dengan menawarkan pekerjaan kepada jurutera dan pereka bentuk berkelayakan, berpengalaman dan berpengetahuan dalam bidang masing-masing.

Cipta kerusi

"Geran SUPERB membolehkan syarikat kami mencipta kerusi rawatan mudah alih automatik pertama di negara kita yang dikenali 'Stuhl 20.

"Kami mencipta kerusi ini dengan reka bentuk ergonomik, kompak, bermutu tinggi dan mesra pengguna.

"Kami percaya ciri ini memberi keyakinan kepada syarikat untuk cuba menembusi pasaran antarabangsa. Ini dapat dicapai menerusi geran daripada TERAJU," katanya.

Mohd Azhan berkata, penggunaan kerusi itu membolehkan program menderma darah dan rawatan pergigian di luar klinik gigi atau hospital dapat dijalankan dengan lebih mudah dan selesa.

"Kami yakin suntikan modal TERAJU membantu Waterbay Sdn Bhd membekalkan produk pergigian atau perubatan berteknologi tinggi bukan saja di pasaran tempatan, malah antarabangsa," katanya.

Dalam pada itu, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) pula berjaya membantu pelajar dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan termasuk Auni Wadhiah Azahar, 15 dari Kuala Terengganu; Winnie Kariza Bakri, 25, dari Tawau dan Fikri Izzan Kip, 19, dari Kuching.

Ini sejajar matlamat merapatkan jurang ketidaksamaan, memimpin belia ke arah masa depan lebih cerah.

Berita Harian X