Rabu, 24 Mei 2017 | 12:53pm

Pemodenan dalam pengalaman membeli-belah

KEBANGKITAN peruncitan e-dagang di Malaysia adalah kisah kejayaan bernilai AS$894 juta pada tahun lalu, yang mana hasil pendapatan dijangka meningkat pada kadar 23.7 peratus setahun sehingga 2021.

Selanjutnya, pertumbuhan pesat ekosistem e-dagang di negara ini dijangka mencatatkan peningkatan purata hasil setiap pembeli sebanyak dua kali ganda menjelang 2021.

Bilangan pembeli dalam talian tinggi, permintaan bagi ketelusan harga dan kemajuan dalam kemudahan pembayaran menggunakan telefon mudah alih merangsang pelbagai inovasi dalam amalan perniagaan runcit yang meningkatkan pengalaman dan memenuhi kepuasan pelanggan.

Justeru, pembangunan gedung maya di bawah EPP 7 NKEA pemborongan dan peruncitan dijangka dapat memenuhi keperluan berterusan untuk pemodenan pembelian atas talian bagi peruncit pelbagai saiz.

Galak sertai e-dagang

amaxMALL, antara kejayaan gedung maya di bawah EPP 7 selaku platform e-dagang yang menyokong peruncit kecil untuk mendapatkan akses kepada lebih ramai pengguna.

Dengan menggunakan satu platform e-dagang yang dikongsi bersama, peruncit kecil dapat menikmati kos minimum dalam menjalankan perniagaan dalam talian.

Dibangunkan oleh AsiaSpace Bhd, amaxMALL berjaya menarik lebih ramai peruncit kecil dengan peningkatan hampir 100 peratus sejak 2015 menerusi bantuan dan kerjasama daripada agensi kerajaan lain.

Kerjasama dengan Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC) juga berjaya menggalakkan usahawan digital menerusi program e-Usahawan untuk menyertai e-dagang.

Sehingga 2016, sejumlah 646 penjual mendaftar perniagaan di gedung maya amaxMALL yang menawarkan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan.

Selain inisiatif keusahawan digital yang dilaksanakan agensi awam, kerajaan juga komited dalam menyediakan persekitaran menggalakkan sektor swasta untuk berkembang maju dalam perniagaan di ruang siber selain menambah pautan dengan sektor e-dagang antarabangsa.

Berita Harian X