Rabu, 24 Mei 2017 | 1:12pm

Muhammad Irfan pecah rekod lagi


ATLET lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin sekali lagi memperbaharui rekod kebangsaan miliknya dengan catatan 61.56 meter (m) di Ludvik Danek Memorial, Turnov, Republik Czech, lewat malam tadi.

KUALA LUMPUR: Selepas tiga hari memecah rekod kebangsaan, Muhammad Irfan Shamsuddin, sekali lagi memperbaharui rekod kebangsaan miliknya di Republik Czech.

Atlet lempar cakera berusia 22 tahun itu melakukan lemparan sejauh 61.56 meter (m) di Ludvik Danek Memorial, Turnov, Republik Czech, lewat malam tadi.

Catatan 61.56 m itu sekali gus memadamkan rekod lamanya iaitu 61.10m yang dicipta di Hallesch Werfertage Championship, Halle, Jerman, pada Ahad lalu.

Perkembangan itu dimaklumkan Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan, Zainal Abas, sebentar tadi.

Terdahulu, ketika beraksi di Jerman, Muhammad Irfan menjelaskan prestasinya sedikit terganggu ketika melakukan lemparan disebabkan kecederaan pinggang.

Dua pencapaian membanggakan di Jerman dan Republik Czech itu sudah jauh mengatasi pencapaian pemegang rekod Sukan SEA, Wong Tuck Yim iaitu 59.50m, yang dicipta pada Sukan SEA Brunei 1999 di Bandar Seri Begawan, Brunei.

Muhammad Irfan adalah pemenang pingat emas lempar cakera lelaki di temasya Sukan SEA Myanmar pada 2013 dan Singapura, 2015.

Dia kini menjadi sandaran utama Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk menyumbang pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, bermula 19 hingga 30 Ogos ini.

15 dibaca
Berita Harian X