Rabu, 24 Mei 2017 | 2:08pm

IRDA koridor ekonomi pertama ikrar bebas rasuah

ISMAIL (kiri) mengetuai lafaz ikrar sambil diperhatikan Azmi (dua dari kiri) pada majlis Ikrar Bebas Rasuah Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) di Danga Bay, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim
ISMAIL (kiri) mengetuai lafaz ikrar sambil diperhatikan Azmi (dua dari kiri) pada majlis Ikrar Bebas Rasuah Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) di Danga Bay, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

JOHOR BAHRU: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) menjadi koridor ekonomi pertama yang menandatangani dan melafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Ia sekali gus menunjukkan IRDA serius membanteras rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan, sekali gus memperkasa integriti.

Majlis IBR dan menandatangani ikrar oleh kira-kira 200 kakitangan IRDA itu diketuai oleh Ketua Eksekutifnya, Datuk Ismail Ibrahim dengan disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, Datuk Azmi Alias.

Ismail berkata, langkah itu memperlihatkan komitmen IRDA dalam usaha memastikan jentera pentadbiran organisasi kekal telus dan bebas daripada sebarang unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dalam melaksanakan misi untuk membangunkan Iskandar Malaysia sebagai sebuah Metropolis bertaraf antarabangsa yang kukuh dan mampan.

"Ikrar bebas rasuah oleh seluruh warga kerja IRDA jelas menunjukkan komitmen kami untuk membudayakan integriti pada setiap fungsi dalam segenap lapisan organisasi, sejajar hasrat IRDA sebagai entiti berprestasi tinggi dengan memperkukuh integriti menerusi amalan tadbir urus yang baik, membina kompetensi, meningkatkan keberkesanan serta produktiviti warga kerja kami," katanya.

Ismail berkata, langkah itu menjadi antara usaha berterusan IRDA bagi membentuk, menerap dan menterjemah budaya integriti dan keutuhan peribadi serta nilai dan amalan baik dalam kalangan warga kerja.

Katanya, langkah itu juga bagi memastikan Rancangan Pembangunan Komprehensif Kedua (CDP ii) dapat dilaksana dan dicapai dengan lancar.

Sementara itu Azmi dalam ucapannya memuji langkah IRDA yang secara sukarela melafazkan ikrar bagi mengelak berlaku kes rasuah, sekali gus memastikan semua kakitangannya dapat melaksanakan tugas dengan lebih baik dengan menjauhkan diri daripada perlakuan rasuah.

Katanya, SPRM mempunyai cara tersendiri bagi mengesan individu yang terbabit dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

"Setiap proses (urusan kerja) mempunyai ruang dan peluang berlaku rasuah. Kalau hari ini kita ambil (rasuah), sepandai-pandai tupai melompat akan jatuh juga.

"Sekiranya individu disyaki terbabit dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah, SPRM akan tengok dan siasat daripada segi kiraan tangga gaji dan akaun serta harta yang disimpan.

"Mereka yang terbabit dalam rasuah (mungkin) tahu strategi untuk menyembunyikan bukti (tetapi), SPRM lebih bijak dalam mencari segala maklumat berkaitan," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X