Rabu, 24 Mei 2017 | 2:09pm

Perisian cetak rompak RM15,000 dirampas

ARIS (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan barang rampasan termasuk set komputer yang mengandungi perisian cetak rompak selepas sidang media di pejabat Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Menara Ansar, Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed
ARIS (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan barang rampasan termasuk set komputer yang mengandungi perisian cetak rompak selepas sidang media di pejabat Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Menara Ansar, Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor merampas pelbagai barangan dan perisian komputer cetak rompak bernilai RM15,000 dalam dua serbuan berasingan di Ulu Tiram, dekat sini.

Dalam serbuan yang dijalankan pada Isnin dan Selasa lalu, KPDNKK secara keseluruhan merampas enam komputer yang mengandungi 76 salinan perisian yang disyaki salinan langgaran.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNKK negeri, Aris Mamat, berkata operasi pada 22 Mei lalu, pasukannya menyita tiga unit komputer yang mengandungi 21 salinan perisian cetak rompak bernilai kira-kira RM7,500.

Katanya, operasi yang dijalankan tujuh pegawainya mendapati premis yang menjalankan urus niaga kejuruteraan itu sudah beroperasi selama 20 tahun.

"Menerusi operasi keesokan harinya, tiga komputer mengandungi 55 salinan perisian disyaki salinan langgaran dirampas di sebuah premis yang menjalankan perniagaan hiasan dalaman sejak dua tahun lalu," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Katanya, serbuan itu susulan aduan daripada Gabungan Perisian Perniagaan (BSA), yang mewakili pemilik hak cipta ke atas perisian yang digunakan di kedua-dua premis berkenaan.

"Kedua-dua pemilik premis didapati warga tempatan dan setakat ini tiada tangkapan dibuat dalam operasi berkenaan namun siasatan masing dijalankan," katanya.

Berita Harian X