Rabu, 24 Mei 2017 | 5:11pm

Nour, Massaro halangan utama Nicol di Dubai


Pemain skuasy negara, Datuk Nicol David. - Foto NSTP/Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Juara dunia lapan kali, Datuk Nicol David berdepan laluan sukar di pusingan akhir Siri Dunia di Dubai dari 6 hingga 10 Jun ini selepas diundi dalam Kumpulan B bersama pemain utama dunia dari Mesir, Nour El Sherbini dan juara bertahan, Laura Massaro dari England.

Bagi memastikan tiket ke separuh akhir, pemain berusia 33 tahun dari Pulau Pinang itu perlu menduduki dua tempat teratas dalam kumpulan yang turut disertai muka baharu, Sarah-Jane Perry dari England, demikian menurut keputusan undian yang diperoleh dari laman sesawang kejohanan, www.worldseriesfinals.com.

Nicol, pemain nombor enam dunia, yang pernah menjuarai kejohanan ini pada 2012 dan 2013, layak ke kejohanan ini yang diadakan di Dubai Opera, Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas menduduki tempat keenam dalam pungutan mata selepas mengumpulkan 155 mata.

Hanya lapan pemain terbaik dalam jelajah siri ini layak beraksi di pusingan akhir. Kumpulan A terdiri daripada pemain England, Alison Waters; pemain nombor tiga dunia, Camille Serme dari Perancis serta dua pemain Mesir, Raneem El Welily dan juara dunia, Nouran Gohar.

Bagi kategori lelaki, Kumpulan A terdiri daripada Karim Abdel Gawad dan Marwan El Shorbagy dari Mesir, Nick Matthew (England) Simon Rosner (Jerman) manakala Kumpulan B pula dibarisi Gregory Gaultier (Perancis), James Willstrop (England) dan Mohamed El Shorbagy dan Ramy Ashour (Mesir). - BERNAMA

Berita Harian X