Rabu, 24 Mei 2017 | 10:33pm

Bazar Ramadan dalam talian

KOTA BHARU: Orang ramai kini boleh membeli-belah di `bazar Ramadan' tanpa perlu bersesak atau beratur di tapak bazar.

Menerusi bazar Ramadan digital, orang ramai boleh mendapatkan pelbagai barangan secara dalam talian menerusi platform yang disediakan syarikat platform perdagangan maya, LeVida.My.

Pengasas LeVida.My, Mohamed Zulkarnain Mohamed, berkata menerusi bazar Ramadan digital itu, peniaga bazar dapat menjual dan memasarkan produk secara dalam talian, selain menjual di khemah.

"Bazar Ramadan digital ini akan dilancarkan pada hari pertama puasa di Palm Mall, Seremban, Negeri Sembilan.

"Sebagai permulaan juga, kemudahan ini hanya membabitkan bazar Ramadan di Negeri Sembilan dan Kelantan," katanya ketika ditemui pada Program Keusahawanan dan Business Partnering LeVida.My.

Mohamed Zulkarnain berkata, setakat ini, sudah ada beberapa usahawan dan peniaga bazar mendaftar untuk berniaga pada Ramadan nanti.

Selain itu, beliau berkata, bazar Ramadan dalam talian itu juga memberi peluang kepada orang ramai untuk membuat sumbangan seperti penajaan makan dan berbuka puasa.

Berita Harian X