Khamis, 25 Mei 2017 | 7:01am

Teknologi tinggi urus sampah jana ekonomi

HASRAT kerajaan Johor untuk mempunyai satu sistem pengurusan sisa pepejal berteknologi tinggi adalah suatu yang baik dan terkehadapan yang sangat dialu-alukan.

Ini memandangkan kepada keperluan tapak pelupusan sampah yang meningkat. Peningkatan sisa pepejal berikutan pertambahan penduduk dan aktiviti masyarakat, kekurangan tanah untuk tapak pelupusan, kos tanah untuk tapak pelupusan sampah dan kos pengangkutan sisa pepejal ke tapak pelupusan.

Selain itu, kos penyelenggaraan jalan raya ke tapak pelupusan sampah, kos pengurusan dan penyelenggaraan tapak pelupusan sampah dan tapak pelupusan yang tidak boleh digunakan selama lebih 100 tahun.

Malah, kebanyakan tapak pelupusan sampah lama berdekatan atau dalam kawasan bandar yang harganya tinggi, tapak pelupusan sampah boleh menjadi sebagai bom jangka serta pencemaran bahan kimia berbahaya dari tapak pelupusan sampah yang memberi kesan kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.

Banyak laporan mengenai pengeluaran sisa pepejal yang semakin bertambah. Di Malaysia, dianggarkan setiap individu mengeluarkan sampah 1.5 hingga 2 kilogram (kg) sehari. Menjelang 2020, dijangkakan Malaysia menghasilkan 30,000 tan sisa pepejal sehari, malah bagi setengah majlis perbandaran, sudah menghasilkan lebih daripada biasa menjadikan jumlah melebihi 30,000 tan sisa pepejal.

TAPAK pelupusan sampah boleh menjadi sebagai bom jangka serta pencemaran bahan kimia berbahaya dari tapak pelupusan sampah yang memberi kesan kepada kesihatan manusia dan alam sekitar. - Foto hiasan
TAPAK pelupusan sampah boleh menjadi sebagai bom jangka serta pencemaran bahan kimia berbahaya dari tapak pelupusan sampah yang memberi kesan kepada kesihatan manusia dan alam sekitar. - Foto hiasan

Peningkatan sisa pepejal

Peningkatan mendadak sisa pepejal domestik ini memberi tekanan kepada setiap kerajaan negeri dalam pengurusan sisa pepejal. Gaya hidup generasi baharu sangat terdedah kepada penggunaan sisa pepejal seperti plastik, logam, sisa bahan makanan, bahan binaan dan landskap.

Selain plastik, sisa pepejal lain yang penting di negara kita ialah bahan buangan elektronik dan barangan elektrik atau selalu disebut sebagai 'e-waste'. E-waste adalah bahan elektronik dan barangan elektrik yang tidak lagi digunakan dan boleh diguna semula selepas diperbaiki atau dilupuskan.

Teknologi barangan elektronik sangat cepat bertukar model dan teknologi seperti telefon bimbit, barangan permainan dan peralatan elektrik menambahkan lagi sisa pepejal berasaskan elektronik atau e-waste.

Kebanyakan bahan sisa pepejal ini boleh dipisahkan dan dikitar semula. Buat masa ini, ada pihak berkuasa tempatan (PBT) mencadangkan pengasingan sisa pepejal bermula dari rumah. Dengan gaya hidup masyarakat dan tahap kefahaman serta kesedaran mengenai kitar semula sekarang, agak sukar untuk diamalkan kerana penduduk tidak tahu ke mana untuk dilupuskan selepas sampah diasingkan.

Pusat kitar semula jika ada pun mungkin jauh dari rumah mereka dan tidak menguntungkan. Maka amalan lama masih diteruskan. Sampah diletakkan dalam tong sama dengan semua jenis sisa pepejal dicampurkan. Kita juga sedia maklum tapak pelupusan sampah menghasilkan gas rumah hijau dan air larut resap yang berbahaya. Menyedari bahaya dan masalah dihadapi oleh tapak pelupusan sampah dan sumbangan penduduk yang kurang berkesan dalam pengurusan sisa pepejal domestik, maka satu teknologi baharu perlu diperkenalkan.

Perkenal teknologi baharu

Teknologi baharu ini bukan insinerator tetapi teknologi yang sekali gus mengasingkan sisa pepejal, merawat dan mengitar semula untuk digunakan dalam bentuk lain. Kita boleh merujuk kaedah baharu teknologi dari Jerman yang diamalkan di negara maju di Eropah.

Hasil teknologi ini membantu industri pembuatan lain yang memerlukan bahan asas dikitar semula. Teknologi ini juga boleh diletakkan di tapak pelupusan sampah yang sudah ditutup dan tidak selamat digunakan. Di samping memulihkan tapak pelupusan sampah lama ini, teknologi ini juga boleh terus menerima sampah domestik dan industri yang ada secara berterusan.

Kaedah pengurusan sisa pepejal yang diamalkan sekarang memerlukan kos tinggi kerana ia membabitkan ramai pekerja, kenderaan khas membawa sampah, perjalanan jauh ke tempat pelupusan sampah, kerosakan jalan raya, pencemaran dan yang lebih penting ialah kekurangan tanah untuk digunakan sebagai tapak pelupusan sampah serta kos pengawasan dan penyelenggaraan tapak pelupusan sampah untuk tempoh lama.

Cadangan Malaysia untuk mengurangkan 40 peratus sisa pepejal ke tapak pelupusan dan mengurangkan gas rumah hijau daripada sisa pepejal akan tercapai sekiranya menggunakan teknologi baharu pelupusan sampah.

Tambahan lagi dengan teknologi baharu ini akan mendatangkan keuntungan daripada hasil pengasingan sisa pepejal untuk kitar semula, barang berharga seperti emas, tembaga, dan lain-lain bahan yang boleh dijadikan kompos, bahan bakar, bahan binaan yang dikitar semula dan tenaga dari gas methana yang dihasilkan.

Kaedah baharu ini yang menggunakan sistem rawatan biologi dan mekanikal jauh lebih menguntungkan dan berfaedah kepada sosioekonomi negara. Sudah sampai masanya Malaysia sebuah negara maju selepas 2020 mengamalkan pengurusan sisa pepejal berteknologi tinggi dan mengamalkan buangan sifar.

Penggunaan teknologi tinggi untuk pengurusan sisa pepejal ini sudah pun diuar-uarkan oleh syarikat tempatan berwibawa yang mempunyai rakan kongsi dengan syarikat yang menggunakan teknologi dari Jerman dalam pengurusan sisa pepejal. Maka sepatutnyalah kerajaan negeri dan seluruh rakyat memberi perhatian kepada cadangan menggunakan teknologi terkini dalam pengurusan sisa pepejal.

Penulis ialah Presiden Persatuan Ekologi Malaysia merangkap Felo Akademi Sains Malaysia

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X