Jumaat, 26 Mei 2017 | 8:57am

Muhammad Irfan cipta rekod nasional kali ketiga


MUHAMMAD Irfan bersama catatan rekod kebangsaan di Linz, Austria, semalam.

KUALA LUMPUR: Atlet olahraga negara, Muhammad Irfan Shamsuddin terus cemerlang apabila memperbaharui rekod kebangsaan di Eropah bagi acara lempar cakera buat kali ketiga dalam tempoh seminggu.

Terbaru di Linz, Austria semalam, dia berjaya mencipta rekod apabila melakukan lemparan sejauh 62.55 meter pada Kejohanan Olahraga Austrian Top Meeting 2017.

Perkembangan itu dinyatakan oleh Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan, Zainal Abas kepada BH Online sebentar tadi.

Pada Selasa lalu, Muhammad Irfan berjaya melakukan rekod baharu kebangsaan di di Turnov, Republik Czech dengan catatan 61.56 meter pada Kejohanan Ludvik Danek Memorial.

Sebelum itu, pada Kejohanan Olahraga Hallesch Werfertage di Halle, Jerman Ahad lalu, anak kelahiran Negeri Sembilan berusia 22 tahun itu berjaya melakukan catatan rekod baharu 61.10 meter.

Rekod lama kebangsaan milik Muhammad Irfan sebelum ini adalah sejauh 59.29 meter yang dicatatkan pada Kejohanan Olahraga Slovak Clubs di Samorin, Slovakia pada 11 Jun 2016.

Pencapaian kali ketiga Muhammad Irfan di Linz, Austria ini jelas jauh mengatasi catatan pemegang rekod Sukan SEA Wong Tuck Yim iaitu 59.50 meter yang dicipta pada Sukan SEA Brunei 1999 Bandar Seri Begawan.

Muhammad Irfan adalah pemenang pingat emas lempar cakera lelaki di temasya Sukan SEA Myanmar pada 2013 dan Singapura, 2015.

Berita Harian X