Sabtu, 27 Mei 2017 | 11:12am

Gelaran berganda Conte atau hadiah perpisahan Wenger?

KOLUM APA KATA EPL: Tengah malam ini, Chelsea dan Arsenal akan berentap di Stadium Wembley pada aksi final Piala FA. Ini adalah trofi terakhir yang ditawarkan bagi kelab-kelab di England musim ini.

Pasukan mana yang bakal menjadi juara? The Blues atau The Gunners? Jangan tanya soalan ini pada peminat tegar pasukan bertanding. Jawapan mereka mudah diagak. Tapi tanyalah peminat EPL atau peminat bola sepak.

Sebenarnya, sebaik saja Liga Perdana Inggeris (EPL) berakhir pada Ahad lalu, ulasan mengenai pertembungan dua gergasi ini sudah banyak diperkatakan. Hampir kebanyakan platform media, termasuk cetak banyak menyentuh mengenainya.

Saya cuma jangkakan perlawanan ini bakal sengit dan sehebat seperti musim-musim terdahulu. Dengan persediaan rapi hampir seminggu, kedua-dua kelab bakal tampil dengan strategi dan ramuan terbaik untuk bergelar juara.

Namun, berbanding Chelsea, lawan mereka, Arsenal saya lihat lebih tertekan apabila turun ke Wembley. Pasukan bimbingan Arsene Wenger ini jelas punya tugas berat kerana ia menjadi saluran terakhir pengubat duka dan penyelamat maruah mereka.

Musim ini boleh dianggap musim malang buat Arsenal. Setakat ini, mereka sudah pun gagal memenangi sebarang piala. Tewas awal di Liga Juara-Juara, tersingkir dari Piala Liga dan kecundang dalam buruan kejuaraan EPL.

Bagi melengkapkan kekecewaan itu, mereka juga gagal buat pertama kalinya selepas sekian lama, mara ke saingan Liga Juara-Juara musim depan biarpun melakukan kebangkitan luar biasa di saat akhir.

Bagi Wenger, dia tiada pilihan. Trofi Piala FA boleh dianggap sebagai penyelamat kerjayanya di Emirates. Dengan desakan berterusan dari penyokong tegar The Gunners yang mahu dia berundur, kejuaraan harus jadi penyelamat.

Dalam pada itu, Chelsea tidak harus tertekan dalam buruan merangkul gelaran berganda musim ini. Dengan trofi kejuaraan EPL sudah berada di Stamford Bridge, trofi Piala FA bakal melengkapkan kebangkitan The Blues musim ini.

Saya percaya Antonio Conte sudah bersedia untuk melakukan satu lagi keajaiban tengah malam ini waktu Malaysia selepas berjaya melakukannya sepanjang musim 2016/2017.

Jadi, pasukan manakah bakal jadi pilihan menjuarai trofi Piala FA kali ini dan pasukan mana bakal masuk `gua'? Sukar untuk meramalkannya. Saya lihat Chelsea ada kelebihan, namun Arsenal mampu lakukan kejutan.

Pada aksi final musim lalu, Manchester United memenangi Piala FA selepas menewaskan Crystal Palace, 2-1, dalam masa tambahan menerusi jaringan Jesse Lingard selepas bangkit ketinggalan untuk memberi kejuaraan kepada Louis van Gaal. Selamat menonton

Ramalan Final Piala FA - Chelsea 3 Arsenal 1

Info EPL 2016/2017:

Juara EPL: Chelsea

Juara Piala FA: Arsenal atau Chelsea

Juara Piala Liga: Manchester United

Pemenang Perisai Komuniti: Manchester United

Pemain Terbaik PFA: N'Golo Kante

Pemain Terbaik FWA: N'Golo Kante

Pemain Terbaik EPL: N'Golo Kante

Penjaring Terbanyak EPL: Harry Kane (29)

Pengurus Terbaik: Antonio Conte (Chelsea)

Pasukan Kekal EPL: Chelsea, Tottenham Hotspur, Manchester City, Liverpool, Arsenal, Manchester United, Everton, Southampton, Bournemouth. West Brom, West Ham, Leicester City, Stoke City, Crystal Palace, Swansea City, Burnley, Watford

Pasukan Tersingkir: Sunderland, Middlesbrough, Hull City

Pasukan Naik EPL: Newcastle United, Brighton dan Huddersfield atau Reading

Pasukan Layak Liga-Liga Juara: Chelsea, Tottenham Hotspur, Manchester City, Manchester United, Liverpool (playoff)

* Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Editor Sukan BH

Berita Harian X