Sabtu, 27 Mei 2017 | 11:28pm

KOM sahkan rekod baharu 110m Rayzam


ATLET lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian. - Foto fail NSTP/Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Atlet lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian melakar rekod kebangsaan baharu 110 meter (m) lari berpagar selepas mencatat kepantasan 13.67 saat (s) ketika menjuarai aksi final B Kejohanan Olahraga B&S Kurpfalz Gala 2017 di Weinheim, Jerman, hari ini.

Kejayaan itu juga membolehkan atlet Sabah terbabit meleburkan rekod kebangsaan berusia 23 tahun milik Nur Herman Majid, 13.73s yang dicipta ketika Sukan Asia di Hiroshima, Jepun, 15 Oktober 1994.

Perkara itu disahkan oleh Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, sambil memaklumkan KOM akan memberi ganjaran RM5,000 sebagai 'duit raya' kepada atlet terbabit kerana memecahkan rekod kebangsaan.

Atlet berusia 29 tahun itu ketika dihubungi bersyukur atas kejayaan itu kerana dia tidak menyangka dapat mencatat kepantasan itu sekali gus mencipta rekod baharu dalam acara 110m lari berpagar.

"Saya masih tak percaya masa yang dicatatkan dalam larian saya hari ini (semalam). Apa pun saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua," kata Rayzam selepas menjalani ujian anti doping di kejohanan itu, hari ini.

Untuk rekod, Rayzam pernah memenangi pingat emas acara sama pada Sukan SEA Thailand 2007 dengan catatan 13.91s ketika baru berusia 18 tahun.

Kejayaan itu secara tidak langsung memberi peluang cerah kepada Rayzam menggondol pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), lebih-lebih lagi selepas juara bertahan, Jamras Rittidet dari Thailand bersara.

Berdasarkan analisis dikeluarkan Ketua Pusat Sukan Kekuatan dan Daya Tahan, Bahagian Prestasi Sukan, Institut Sukan Negara (ISN), Jad Adrian Washif, Rayzam hanya perlu berwaspada dengan Anouxone Xaysa dari Laos yang ketika ini memiliki kepantasan peribadi terbaik iaitu 14.00s.

Katanya, andai Rayzam mahu menyertai Kejohanan Dunia Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) 2017, dia perlu mencatatkan kepantasan 13.48s sebelum tarikh tutup kelayakan pada 23 Julai ini.

Berita Harian X